Iklan

Lonjak pelancongan menerusi promosi agresif, kata pemain industri

Noel Achariam2 years ago9th Oct 2022Berita
49932643283 1833125211 b
Pemain industri berpendapat, pasaran domestik mesti dirangsang untuk mengekalkan perniagaan pengusaha. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2022.
Iklan

MALAYSIA memerlukan promosi agresif untuk menarik pelancong ketika negara baru pulih daripada pandemik Covid-19, kata Majlis Pelancongan Malaysia.

Majlis itu berkata, kebimbangan utamanya adalah negara masih dalam fasa pemulihan dan pemain industri memerlukan banyak dana untuk mempromosikan pelancongan.

Ini kata majlis itu, kerana terdapat begitu banyak tarikan pelancong di negara ini untuk dipromosikan.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia Uzaidi Udanis berkata, untuk mempromosikan produk mereka (tempat pelancongan) ia memerlukan wang.

“Jadi, kebimbangan kami adalah untuk mempromosi pelancongan. Kami tidak boleh hanya bergantung kepada apa sahaja peruntukan yang diberikan kerajaan untuk menjalankan promosi.

“Isunya dolar AS melonjak dengan ketara berbanding RM. Jadi kos pengiklanan di luar negara dengan bajet yang diperuntukkan menjadi lebih kecil.”

Pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan RM200 juta diperuntukkan untuk menggalak, mempromosi dan melakukan pemasaran bagi mengukuhkan pemulihan sektor pelancongan.

“Ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk menerima lebih 15 juta pelancong asing, dengan nilai pendapatan RM47.6 bilion tahun depan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, mereka juga akan memberi tumpuan kepada pelancong bernilai tinggi dalam segmen pasaran khusus seperti ekopelancongan, golf dan sukan skuba serta konvensyen antarabangsa.

“Sebanyak RM90 juta diperuntukkan dalam bentuk geran padanan untuk program seperti Galakan Melancong Malaysia (Gamelan) yang membabitkan kempen promosi dan pemasaran bersama industri,” katanya.

Uzaidi berkata, walaupun RM90 juta di bawah Gamelan boleh dilaksanakan, ia akan menelan kos yang lebih tinggi untuk mengiklan di luar negara.

“Jadi, jika kita ingin mengiklan dan membeli slot media di luar negara, ia akan menelan kos yang lebih tinggi dan kemudian dana yang kita ada semakin kecil. Wang ini perlu dibelanjakan secara berhemah.”

Malaysia mampu menarik pelancong luar negara kerana terdapat begitu banyak tarikan pelancong untuk dipromosikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2022.

Beliau berkata, Malaysia bukan sahaja bersaing dengan negara jiran seperti Thailand tetapi tidak lama lagi dengan Jepun apabila sempadan negara itu dibuka semula.

“Kita perlu menghasilkan strategi baharu. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada papan iklan di luar negara. Kita perlu melakukan banyak pemasaran yang disasarkan.

“Geran itu satu langkah yang baik oleh kerajaan. Tetapi kami memerlukan lebih banyak promosi agresif.

“Kita perlu ke luar negara untuk menarik rakan sejawat (pengendali pelancongan) untuk mempromosikan Malaysia dan ini memerlukan wang.

“Kami perlu melakukan lebih banyak pengiklanan dan pemasaran yang ternyata mahal.”

Uzaidi berkata, mereka diberi peruntukan bagi tahun ini tetapi ia tidak mencukupi.

“Menteri juga berkata mereka mahu pelancong bernilai tinggi dan lebih banyak ekopelancongan.

“Kita perlu menaik taraf kemudahan terlebih dahulu untuk ketibaan pelancong dan menangani pengurusan sisa.

“Walaupun ekopelancongan penting, kami perlu menjaga tarikan kami dengan baik.”

Menggalakkan perjalanan domestik

Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pelancongan Malaysia (Matta), Tan Kok Liang berkata, walaupun peruntukan dibentangkan, belanjawan itu tidak mencukupi.

Beliau berkata, sementara menunggu ketibaan pelancong antarabangsa, pasaran domestik mesti dirangsang untuk mengekalkan perniagaan.

Tan berkata, kerajaan perlu memberi insentif cukai untuk meningkatkan perjalanan domestik.

“Peruntukan RM25 juta untuk baucar pelancongan bagi melonjakkan pelancongan tempatan adalah baik tetapi jika dibahagikan, ia hanya RM100 bagi setiap keluarga dan ia akan habis dengan pantas.

Tumpuan akan diberi kepada pelancong bernilai tinggi dalam segmen pasaran khusus seperti ekopelancongan, golf dan sukan skuba serta konvensyen antarabangsa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2022.

“Kerajaan boleh mulakan dengan memberi insentif cukai RM5,000 kepada keluarga yang melancong di dalam negara.

“Ini juga boleh dilakukan untuk syarikat korporat. Daripada mengadakan program mereka di luar negara, mereka boleh melakukannya di dalam negara.”

Tan berkata, apabila orang ramai pergi ke United Kingdom atau Eropah dan kerana ringgit yang lebih lemah, mungkin subsidi yang lebih besar boleh diberikan untuk pengembara dan subsidi yang lebih kecil untuk pasaran Asean.

“Ini akan mengimbangi sumber terhad yang kita ada. Dalam dua tahun kebelakangan ini disebabkan wabak, mereka mengalami banyak kerugian bercukai.”

Beliau juga berkata, adalah penting bagi kerajaan membelanjakan wang untuk menaik taraf infrastruktur pelancongan terutama di kawasan awam.

“Juga beberapa peruntukan boleh diberikan kepada pemain industri untuk menaik taraf kemudahan mereka.”

Tan menambah dana untuk pembiayaan pelancongan perlu lebih fleksibel.

Beliau berkata, kadar pengambilan untuk pembiayaan pelancongan Penjana adalah sangat rendah kerana ia hanya 10%.

“Walaupun peruntukan RM600 juta, hanya RM67.5 juta diluluskan setakat Oktober 2021.” – 9 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan