Faedah Belanjawan 2023 bukan jaminan BN menang PRU15, kata penganalisis
Iklan
TIADA sesuatu yang cukup besar daripada Belanjawan 2023 yang boleh memberi kelebihan tambahan kepada Barisan Nasional (BN) berbanding gabungan lain sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat, kata penganalisis politik.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight belanjawan tahun depan tidak banyak berbeza dengan Belanjawan 2022 yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz tahun lalu.
Pemerhati menegaskan, rakyat tidak lagi teruja dengan pembentangan belanjawan kerana ramai yang sudah letih dengan ketidaktentuan politik semasa.
Pada Jumaat, Putrajaya mengumumkan salah satu belanjawan terbesar dalam sejarah Malaysia, memperuntukkan RM372.3 bilion. Ia peningkatan 12% daripada tahun sebelumnya apabila RM332 bilion diperuntukkan.
Tiga penerima utama Belanjawan 2023 adalah Kementerian Kewangan (RM67.2 bilion), Kementerian Pendidikan (RM55.6 bilion) dan Kementerian Kesihatan (RM36.1 bilion), iaitu 43.3% daripada jumlah perbelanjaan.
Sejumlah RM272.3 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi kerajaan, meningkat 16.6% daripada RM233.5 bilion berbanding Belanjawan 2022.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pemberian bantuan tunai dan menambah sedikit jumlah untuk orang ramai hanya boleh memberi impak kecil kepada BN.
“Inisiatifnya tidak banyak berbeza dengan belanjawan sebelum ini. Ia menyentuh B40 tetapi tiada apa yang kukuh diberikan.
“Melainkan jika kerajaan berkata ia akan menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,800, maka sudah tentu ia akan menjadi tumpuan utama dan rakyat pasti akan mengundi BN.
“Bagaimanapun kita faham beban kewangan yang dihadapi negara. Oleh itu, belanjawan tidak akan memberi impak besar kepada pengundi. Bantuan tunai diberikan setiap tahun dan hari ini, ia satu perkara biasa untuk berbuat demikian.
“Bagi B40, tidak semua dalam B40 menyokong BN,” kata Mazlan.
Bagi pengarah eksekutif Ilham Center, Hisomuddin Bakar, keterujaan terhadap pembentangan belanjawan itu tidak begitu digembar-gemburkan seperti ketika BN memerintah sebelum 2018.
Jelasnya, rakyat kini ragu-ragu dengan kemampuan kerajaan untuk melaksanakan tugas berikutan beberapa siri kemelut politik.
“Pada zaman BN sebelum 2018, apa sahaja yang diumumkan akan menjadi kelebihan kepada gabungan itu. Ia akan mendapat maklum balas yang baik tetapi kali ini tiada lagi kegembiraan.
“Berdasarkan kajian kami, rakyat agak skeptikal. Mereka tidak nampak kerajaan atau gabungan yang boleh melaksanakannya. Belanjawan ini contohnya - adakah ini bajet BN atau BN-PN dan siapa yang akan melaksanakannya selepas ini.
“Adakah belanjawan ini boleh memberi kesan kepada BN? Saya tidak nampak semudah itu,” katanya.
Di bawah skim Bantuan Keluarga Malaysia, Putrajaya menghulurkan RM2,500, paling banyak pernah diberikan kepada isi rumah yang mempunyai lima anak atau lebih dengan pendapatan bulanan kurang daripada jumlah itu. RM7.8 bilion diperuntukkan kepada dana itu untuk memanfaatkan 8.7 juta penerima.
Belanjawan sebagai bahan kempen
Bagi Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, belanjawan itu tetap akan digunakan oleh BN bagi kempen pilihan raya mereka.
Bagaimanapun beliau berkata, sama ada ia akan diterima oleh pengundi satu perkara lain.
“Ini adalah bajet terbesar dalam sejarah dan sudah tentu BN akan menggunakannya sebagai alat kempen untuk memenangi pilihan raya. Tetapi kita mempunyai pelbagai jenis kelompok di negara ini, mereka yang tidak kritikal terhadap kerajaan akan mengatakan BN melakukan kerja yang baik.
“Orang lain yang tidak mendapat manfaat seperti orang Sabah dan Sarawak pasti tidak berpuas hati,” katanya.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura bersetuju dengan pandangan Awang Azman tetapi meramalkan BN masih boleh memenangi PRU15.
Beliau berkata, Umno cuba mengadakan pilihan raya secara mendadak tahun ini kerana pakar meramalkan ekonomi yang terlalu mencabar tahun depan.
“Belanjawan sentiasa memberi kelebihan kepada kerajaan semasa bagi menghadapi pilihan raya tetapi sama ada ia cukup untuk mengekalkan kuasa satu persoalan lain.
“Semua orang mendapat bahagian masing-masing yang kecil tetapi saya tertanya-tanya dari mana sumber dana itu akan datang.
“Mengenai alasan saya mengapa BN boleh menang, orang Melayu mungkin suka atau tidak suka BN tetapi mereka pastinya tidak memilih Pakatan Harapan. Saya rasa BN boleh menang,” tambahnya.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mendapat tekanan daripada kepimpinan partinya supaya mengadakan PRU15 secepat mungkin tetapi parti pembangkang menentang idea mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh. – 10 Oktober, 2022.