Iklan

Perikatan hormati keputusan laksana PRU15, kata Muhyiddin

Noel Achariam2 years ago10th Oct 2022Berita
Muhyiddin yassin perikatan fb
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata pakatanya menerima keputusan pembubaran Parlimen kerana ia mengikut Perlembagaan Persekutuan. – Gambar Facebook, 10 Oktober, 2022.
Iklan

PERIKATAN Nasional (PN) menghormati keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan tidak lama lagi, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, Ismail Sabri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Bekas perdana menteri itu berkata pakatannya akan menerima keputusan itu kerana ia mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan sudah dibuat (untuk mengadakan PRU15) dan kami menghormatinya. Kami kini akan berusaha untuk mendapatkan kemenangan.

“Satu-satunya harapan kita ialah proses pilihan raya tidak terganggu dengan keadaan banjir dan menghalang rakyat daripada melaksanakan tanggungjawab mengundi,” katanya di Pahang hari ini.

Pada 6 Oktober, menteri PN menghantar rayuan kepada Agong agar tidak membenarkan pilihan raya umum tahun ini kerana kemungkinan banjir berkaitan monsun di negara ini.

Muhyiddin berkata mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh pasti akan menjejaskan proses pilihan raya dan menyukarkan rakyat.

“Kami berasa masa itu tidak sesuai, tetapi kami menghormati keputusan itu.

“Saya rasa rakyat sudah bersedia untuk itu dan mahu menggunakan hak mereka untuk mendapatkan kerajaan yang lebih baik yang akan menjaga mereka, iaitu PN,” katanya hari ini. – 10 Oktober, 2022.     

Iklan
Iklan