Iklan

Saksi nafi pernah bertemu Jho Low di rumah Zeti

Alfian Z.M. Tahir2 years ago11th Oct 2022Berita
Zeti aziz 210915 tmiseth 02
Bekas gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz bakal memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB membabitkan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2022.
Iklan

SAKSI dalam perbicaraan kes rasuah Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang beliau tidak pernah bertemu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho di rumah bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata demikian selepas peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah menyoal balas saksi, bekas pengarah urusan kumpulan Ambank Cheah Tek Kuang.

Cheah yang merupakan saksi ke-39, ditanya jika pernah bertemu Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low di rumah Zeti.

Cheah memberitahu mahkamah beliau pernah ke rumah Zeti sekali sahaja semasa sambutan Hari Raya dan tidak pernah bertemu Jho Low (di rumah Zeti).

“Awak pasti?” tanya Shafee.

“Sangat pasti,” balas Cheah di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Shafee seterusnya berkata beliau mempunyai maklumat yang boleh dipercayai dengan beberapa bukti yang Jho Low sering berkunjung ke rumah bekas gabenor itu.

Cheah berkata tidak mengetahui perkara itu.

Pada ketika ini, Ketua Pendakwa Raya Gopal Sri Ram mencelah mengatakan yang Zeti akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Beliau akan menjawabnya,” kata Sri Ram.

Zeti dan keluarganya dituduh oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin menerima RM100 juta daripada Jho Low.

Najib sedang dibicarakan dengan pertuduhan rasuah membabitkan RM2.28 bilion dana 1Malaysia Development Bhd. 

Dia menghadapi 25 pertuduhan - empat bagi salah guna kuasa dan 21 bagi pengubahan wang haram - untuk kesalahan yang dilakukan antara 2011 dan 2013.

Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana daripada SRC International.

Minggu lalu, Cheah memberitahu mahkamah beliau bertemu Zeti untuk memaklumkannya mengenai dana yang masuk ke akaun bank Najib.

Cheah berkata selepas bertemu Najib, beliau membuat temu janji untuk bertemu Zeti.

Cheah berkata tujuan pertemuan itu adalah untuk memaklumkannya tentang pembukaan akaun Najib dan kemasukan dana AS$100 juta daripada Arab Saudi.

Beliau berkata pertemuan dengan Zeti dibuat secara rahsia bagi membincangkan akaun Najib “memandangkan perkara ini adalah rahsia dan melibatkan kepentingan perdana menteri”.

Cheah juga berkata pertama kali melihat Jho Low di rumah Najib di Kenny Hills.

“Saya dijemput berhampiran rumah saya dan ada konvoi kereta ke rumah Najib. Ketika itu saya melihat Jho Low di dalam salah sebuah kereta.

“Saya masuk ke dalam rumah dan kemudian ke bilik berasingan daripada Jho Low. Beliau tidak bercakap dengan saya dan saya langsung tidak bercakap dengannya,” katanya ketika memberi keterangan sebelum ini. – 11 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan