Jho Low cuba dapatkan bon RM10 bilion untuk tubuh TIA, kata saksi
Iklan
AHLI perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho telah menghubungi Ambank pada 2009 untuk mengeluarkan bon RM10 bilion dengan tempoh 30 tahun untuk dana negara bagi membangunkan Terengganu, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Dana ini kemudiannya menjadi 1Malaysia Development Bhd.
Bekas pengurus perhubungan Ambank, Joanna Yu mendedahkan bahawa bank itu bersama-sama pegawai Terengganu Investment Authority (TIA) mengadakan mesyuarat untuk membincangkan pengeluaran bon itu.
Mesyuarat itu dihadiri rakan sekerja Yu manakala TIA diwakili oleh Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas CEO 1MDB), Tang Keng Chee (bekas pengarah eksekutif) serta Low sendiri.
“Dalam mesyuarat ini, Jho Low dan Tang bertanya banyak soalan dan bertanya tentang isu biasa yang melibatkan terbitan bon, struktur dan garis masa untuk terbitan.
“Pada mulanya kami diminta memberikan cadangan untuk terbitan bon RM10 bilion dengan tempoh 30 tahun,” kata Yu semasa perbicaraan 1MDB Najib Razak.
“Akhirnya, mereka (TIA) bersetuju untuk mengurangkan RM5 bilion bon jaminan kerajaan selama 30 tahun.”
Najib sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah melibatkan dana 1MDB RM2.28 bilion. Beliau berdepan 25 pertuduhan - empat untuk salah guna kuasa dan 21 untuk pengubahan wang haram - untuk kesalahan yang dilakukan antara 2011 dan 2013.
Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, setelah disabitkan kesalahan menyeleweng dana daripada SRC International.
Yu juga memaklumkan mahkamah di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa kali pertama beliau bertemu Low pada 2007 - dua tahun sebelum penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).
Pada masa itu Yu sedang berusaha mendapatkan pinjaman untuk Majestic Masterpiece Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dikawal oleh Low.
Yu memberi keterangan bahawa Majestic Masterpiece mahu membeli saham dalam dua syarikat – Loh & Loh Corporation Bhd dan Putrajaya Perdana Bhd.
Majestic Masterpiece dimiliki oleh Wynton Private Equity Group dan Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corp (ADKMIC). Jho Low adalah salah seorang pengarah Wynton.
“Tidak lama selepas pinjaman Majestic Masterpiece diluluskan oleh bank dan pengambilalihan entiti di atas selesai, Jho Low memaklumkan bank bahawa pasukannya sedang berusaha untuk menubuhkan dana kekayaan negara bagi mengumpul dana untuk membangunkan negeri Terengganu,” Yu memberitahu mahkamah.
“Low memberitahu kami bahawa Tengku Rahimah (kekanda Sultan Terengganu) adalah salah seorang pengarah di Loh & Loh. Mereka mahu membangunkan negeri ini,” tambahnya. – 13 Oktober, 2022.