Latihan penting bagi OKU dapat kerja, kata kumpulan
Iklan
GOLONGAN kelainan upaya (OKU) harus diberi lebih banyak latihan untuk mendapatkan pekerjaan yang akan membantu mereka pada masa depan, kata sebuah kumpulan masyarakat sivil.
Ketua Pegawai Eksekutif IDA Intellectually Centre, Elaine Sia Ling Ling berkata, sesetengah OKU boleh bekerja tetapi kekurangan pendidikan dan latihan menghalang mereka daripada berintegrasi ke dalam masyarakat.
“Terdapat segelintir orang kelainan upaya yang tidak mampu bekerja, dan hanya mempunyai ibu bapa untuk menjaga mereka.
“Tujuan kami adalah untuk membantu mereka yang mampu bekerja, supaya mereka boleh belajar dan membina potensi mereka di tempat kerja, dan bukannya tinggal di rumah sepanjang masa,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagi membantu OKU, beliau berkata mereka memulakan kursus dalam talian pada Jun 2021 semasa pandemik Covid-19 di mana seramai 16 orang kurang upaya khas menyertainya.
“Selepas tempoh belajar dan latihan, tahun ini tujuh orang dihantar menjalani latihan di restoran, pasar raya dan kilang yang bekerja dengan kami untuk penempatan pekerjaan.
“Majikan kemudian akan memantau mereka dan melihat kemahiran mereka sebelum memutuskan sama ada untuk membenarkan mereka bekerja secara rasmi.”
Beliau bagaimanapun berkata, masih ramai majikan yang tidak sedar yang OKU boleh bekerja.
“Mereka berpendapat pengambilan OKU akan menjejaskan perniagaan mereka kerana mereka perlu mengawasi mereka.
“Mereka sepatutnya diberi peluang untuk mempelajari pekerjaan itu.”
Sia berkata, beliau cuba mengajak OKU bekerja di restoran tetapi disebabkan masalah komunikasi, majikan tidak mahu mengambilnya.
Sia juga seorang pesakit yang menghidap penyakit keturunan distrofi otot tetapi beliau berusaha untuk mengatasi kekurangan keadaan fizikalnya dan bersemangat untuk membantu kanak-kanak istimewa.
Beliau juga merupakan presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Intelektual Malaysia.
Sia berkata pusat itu menyediakan platform pembelajaran untuk OKU khas yang berumur antara 12 dan 35 tahun.
“Kami menerima orang kelainan upaya khas seperti masalah pembelajaran, mereka yang hiperaktif dan sindrom down.”
Tambahnya, untuk membesarkan OKU, kunci terbesar bukan sahaja kemampuan anak itu sendiri, tetapi juga sikap ibu bapa.
“Jika ibu bapa terlalu melindungi anak-anak mereka maka sukar untuk membantu mereka.”
Untuk maklumat lanjut, ibu bapa dialu-alukan untuk menghubungi pusat berkenaan di talian 011-56331941. – 14 Oktober, 2022.