Undi18 mahu bawa pulang 50,000 undi pos, kata pengasas bersama
Iklan
PERGERAKAN Pemuda Undi18 sedang menganjurkan projek untuk membawa pulang 50,000 kertas undi dari luar negara bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata pengasas bersamanya Tharma Pillai.
Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan 13 pertubuhan belia dan pelajar di 10 negara bagi mencapai matlamat tersebut.
Negara yang mengambil bahagian ialah Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Turkiye, Maghribi, Jepun, Jerman, Mesir, Singapura dan Qatar.
Undi18 telah berjaya mendesak untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengurangkan had umur minimum mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. Kumpulan itu bermula sebagai gerakan pelajar pada 2016, di bawah payung Perikatan Global Pelajar Malaysia.
Tharma juga menggesa pengundi luar negara daftar undi mereka agar projek itu berjaya.
“Kita harap kalau 100,000 rakyat Malaysia mendaftar, maka kita boleh ambil separuh daripadanya (undi pos).
“Ini pilihan raya penting untuk menentukan masa depan negara kita. Saya harap kita semua boleh main peranan untuk tentukan ke mana hala tuju negara kita,” katanya.
Beliau berkata buat masa ini terdapat satu juta pengundi luar negara yang berdaftar sama ada bekerja atau belajar di luar negara.
Pada Isnin, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen, membuka jalan kepada PRU15.
Pilihan raya perlu diadakan 60 hari selepas Parlimen dibubarkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pada 20 Oktober ini.
Dalam pada itu SPR juga telah membuka permohonan untuk undi pos dalam dan luar negara bagi PRU15.
Tharma berkata, di 10 negara itu akan ada satu tempat kutipan (untuk undi) sama ada melalui persatuan pelajar atau belia.
“Kita ada 10 negara sekarang, kita mungkin akan berkembang ke China kerana di sana juga terdapat permintaan,” katanya.
“Sebaik sahaja kami dapat kertas undi, kami akan beli tiket penerbangan untuk bawa balik undi ke Kuala Lumpur di mana ia akan diedarkan ke kawasan masing-masing di seluruh negara.”
Untuk melaksanakan projek itu, Tharma berkata mereka memerlukan pembiayaan RM500,000.
“Kami akan minta derma orang ramai untuk mendapatkan RM500,000 yang akan diterjemahkan kepada RM10 setiap undi.”
Tharma berkata apa yang dianjurkan oleh Undi18 ialah rakyat Malaysia di luar negara mempunyai hak untuk memilih kerajaan mereka.
“Apa yang kami lakukan ialah membantu mereka mendapatkan kertas undi mereka tepat pada masanya untuk mengundi.
“Kami juga mahu mewujudkan kesedaran mengenai pendaftaran pemilih dan proses undi pos.”
Beliau berkata pihaknya sedang berusaha menyelesaikan masalah logistik besar yang berlaku sebelum ini seperti kelewatan undi pos sampai ke destinasi.
“Kebimbangan kami sekarang ialah dengan pendaftaran pemilih automatik, beribu-ribu pelajar Malaysia di luar negara juga akan terlibat dalam proses pilihan raya.”
Mereka yang berminat untuk menyumbang boleh melayari http://bit.ly/VoteMalaysia. – 16 Oktober, 2022.