SOP ketat cegah jangkitan Covid-19 semasa PRU15, kata pakar
Iklan
LANGKAH membenarkan individu positif Covid-19 tetapi tidak kritikal mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak akan membawa kepada peningkatan mendadak jangkitan virus itu jika prosedur operasi standard (SOP) ketat dipatuhi, kata pakar kesihatan.
Meskipun risiko jangkitan tetap ada,namun ia boleh diminimumkan sekiranya pengundi yang positif Covid-19 memakai pelitup muka dan mematuhi SOP yang ditetapkan ketika mengundi.
Pakar kesihatan mengulas pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada Khamis, bahawa pengundi yang positif Covid-19 dengan tahap kesihatan yang tidak kritikal akan dibenarkan mengundi pada PRU15, tetapi perlu mematuhi semua SOP yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengumuman itu, ketika media turut melaporkan lonjakan kes Covid-19 di Singapura akibat subvarian XBB, mencetus kebimbangan dalam masyarakat.
Pakar Virologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Chee Hui Yee memberitahu The Malaysian Insight, risiko jangkitan Covid-19 boleh diminimumkan jika Kementerian Kesihatan (KKM) mengasingkan pengundi positif Covid-19 di pusat mengundi.
Namun, apa yang masih dibimbangi adalah bagaimana individu yang dijangkiti Covid-19 ini bergerak ke pusat mengundi, katanya.
“Adakah mereka memandu sendirian atau berkongsi kereta dengan ahli keluarga? Adakah mereka guna pengangkutan awam?” katanya.
Menurut Dr Chee, ini antara butiran penting yang perlu KKM dapatkan daripada pengundi positif Covid-19 sebelum mereka keluar mengundi.
Tambahnya, jika pengundi ini tinggal berhampiran dengan pusat mengundi, mereka disarankan supaya berbasikal, menunggang motosikal atau berjalan kaki sahaja ke pusat mengundi.
“Dengan cara ini mereka (pengundi positif Covid-19) dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain,” ujarnya.
Bagaimanapun, jika terpaksa menggunakan pengangkutan awam atau dihantar oleh ahli keluarga ke pusat mengundi, individu yang dijangkiti Covid-19 perlu lebih berhati-hati, kata Dr Chee.
Padangan sama turut disuarakan Dr Moy Foong Ming, pensyarah di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya.
“Tiada masalah jika pengundi positif Covid-19 memndu sendiri ke pusat mengundi.
“Tetapi kalau berkongsi kereta dengan ahli keluarga lain ke pusat mengundi, semua yang berada dalam kenderaan mesti memakai pelitup muka, dan cermin tingkap kereta hendaklah diturunkan untuk aliran udara yang lebih baik,” katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, semua pengundi sama ada dijangkiti Covid-19 atau tidak harus mengamalkan SOP yang ketat seperti memakai pelitup muka dan mencuci tangan, ujarnya lagi.
Ini kerana pengundi yang beratur untuk mengundi mungkin ada yang dijangkiti Covid-19 tetapi tidak bergejala, kata Dr Moy.
“Itu sebabnya mengapa kita perlu mematuhi SOP dan mengamalkan kebersihan diri.”
Sementara itu, bekas menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata walaupun terdapat kemungkinan kes Covid-19 meningkat selepas PRU15, namun lonjakan mendadak boleh dielak jika KKM dan SPR merangka SOP yang sesuai bagi membendung jangkitan.
Cara paling mudah dan terbaik adalah dengan memakai pelitup muka, katanya.
“Pelitup muka memberi perlindungan selagi anda memakainya, jadi tidak perlu risau tentang perkara lain.”
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kelmarin dilapor berkata kementeriannya mencadangkan penyediaan lorong dan pusat mengundi berasingan untuk pesakit positif Covid-19 membuang undi pada PRU15.
Perkara itu bagaimanapun bergantung kepada SPR, katanya. – 16 Oktober, 2022.