Iklan

Kechara Soup Kitchen mohon bantuan untuk keluarga susah

Noel Achariam2 years ago16th Oct 2022Berita
305571944 5351975884851909 5392968731213890674 n
Kechara Soup Kitchen pada masa ini beroperasi di enam cawangan KSK iaitu dua di Kuala Lumpur selain di Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan Johor. – Gambar Facebook, 16 Oktober, 2022.
Iklan

KECHARA Soup Kitchen (KSK), yang menyediakan makanan percuma kepada masyarakat terpinggir di Malaysia sejak 2008, kini mula menggerakkan kempen kutipan bekalan bahan makanan di seluruh negara untuk golongan memerlukan yang bergelut untuk mendapatkan makanan asas.

Program itu dilancarkan sempena Hari Makanan Sedunia 2022, yang akan bermula hari ini hingga hujung bulan.

Pengarah Operasi KSK Justin Cheah berkata kumpulan itu pada masa ini berdepan kesukaran menyediakan makanan untuk 3,000 keluarga di seluruh negara berikutan sumbangan diterima merosot 30% awal tahun ini.

Beliau berkata dengan kenaikan harga minyak masak dan makanan, kumpulan itu sukar menyediakan makanan untuk keluarga, masyarakat Orang Asli dan ibu tunggal.

Cheah berkata kos bulanan untuk beroperasi termasuk di Sabah dan Sarawak, mencecah RM120,000.

“Kenaikan harga barang menyebabkan sumbangan diterima menurun.

“Kami sendiri susah hendak mencari bantuan kewangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

KSK ditubuhkan sekumpulan rakyat Malaysia yang prihatin pada 2008. Ia bermula sebagai khidmat dapur jalanan yang memberikan makanan kepada gelandangan dan kemudian berkempan kepada perkhidmatan simpanan dan agihan makanan.

Terdapat enam cawangan KSK iaitu dua di Kuala Lumpur selain di Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan Johor.

Cheah berkata awal tahun ini sejumlah 500 keluarga ditambah dalam senarai penerima bantuan makanan.

“Pada masa ini kami menggunakan simpanan untuk memenuhi kekurangan yang ada. Ia mungkin bertahan untuk setahun, tetapi kita tidak tahu harga barangan pada tahun depan bagaimana pula.”

Katanya, pusat operasi mereka akan dibuka sepanjang minggu untuk orang ramai memberikan bantuan.

“Ini bagi mengumpul bekanan makanan untuk golongan miskin yang hendak dapat makanan asas pun susah,” katanya.

Katanya, dianggarkan 625,000 rakyat Malaysia diklasifikasikan kategori B40 akibat pandemik Covid-19, dan dengan kenaikan harga barang, kebergantungan mereka kepada bank makanna semakin tinggi.

Cheah berkata penyumbang boleh menghantar sumbangan makanan di lokasi mereka di Kuala Lumpur, Georgetown, Ipoh, Melaka dan Johor Bahru.

Antara bahan yang diperlukan ialah beras, tepung, minyak masak, mi segera, gula, biskut dan makanan dalam tin.

Orang ramai juga boleh turut serta dengan membeli dan menghantar sumbangan makanan di pasar raya besar yang menjadi rakan kerjasama KSK iaitu antaranya Lotus’s Malaysia (di Tanjung Pinang, Station 18, Kepong, Melaka dan Seri Alam) serta AEON (Shah Alam). 

Sukarelawan juga boleh membantu mempromosikan kempen itu di lokasi kutipan. Semua sumbangan akan dikutip pada 16 Oktober.

Sumbangan dalam bentuk wang juga boleh dibuat secara atas talian, dengan resit pengecualian cukai akan dikeluarkan atau permintaan di talian +6010-333-3260. Untuk makluman lanjut, anda boleh melayari laman web www.kecharasoupkitchen.com. – 16 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan