Iklan

Jangan janji bulan bintang pada pengundi, kena realistik, kata pemerhati politik

Alfian Z.M. Tahir2 years ago17th Oct 2022Berita
Pakatan harapan  manifesto 20180308 hasnoor 030
Pada Julai 2018, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaannya mungkin tidak dapat merealisasikan kesemua 10 janji dalam 100 hari seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2022.
Iklan

PARTI politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu realistik dan tidak menjanjikan bulan bintang kepada pengundi serta mengambil kira kedudukan kewangan negara sebelum mengemukakan manifesto masing-masing.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, pemerhati berkata meskipun manifesto masih relevan namun parti tidak sepatutnya menabur janji untuk mengimplementasikan polisi yang diluar kemampuan mereka.

Kata mereka lagi, hampir setiap parti yang bertanding pernah mempunyai pengalaman sebagai kerajaan maka mereka tidak sepatutnya mengulang kesilapan sama yang dilakukan sebelum ini.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata adalah tidak bertanggungjawab sekiranya parti itu menjanjikan sesuatu yang tidak mungkin boleh dilaksanakan hanya demi memenangi pilihan raya.

Namun beliau menegaskan dalam kajian dijalankan Ilham Centre, manifesto bukanlah sesuatu yang mendorong pengundi memilih namun lebih dilihat sebagai ramuan menjual parti politik ketika pilihan raya.  

“Manifesto adalah panduan parti apabila mereka jadi kerajaan. Ia digunakan oleh pegawai kerajaan untuk laksanakan atau atur polisi. Dalam kajian, kami dapati impak manifesto ini kecil kepada pengundi. Mereka yang di kawasan bandar atau semi bandar mungkin akan ambil kisah tapi di kawasan kampung mereka tak peduli.

“Manifesto juga bukan sesuatu yang dinilai pengundi dalam memilih calon. Ada yang akan melihat calon itu sendiri atau parti diwakilinya.

“Tapi ia ‘ajinomoto’ untuk parti yang bertanding. Tanpa manifesto, tak lengkap. Manifesto ini digunakan parti untuk dekati pengundi.

“Tapi ia tidak sepatutnya digunakan untuk menjanjikan bulan bintang atau buat kenyataan populis hanya untuk menang pilihan raya. Saya rasa hampir semua parti pernah jadi kerajaan jadi mereka sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan manisfesto kali ini,” katanya.

Pada Julai 2018, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaannya mungkin tidak dapat merealisasikan kesemua 10 janji dalam 100 hari seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

Pakar ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak turut senada dengan Hisomuddin dan berkata setiap parti politik mesti melihat keadaan ekonomi semasa sebelum menjanjikan apa-apa kepada rakyat.

“Keadaan ekonomi semasa mesti menjadi asas kepada setiap manifesto. Kita perlu selesaikan masalah jangka pendek sebelum boleh beralih kepada pelan jangka panjang.

“Manifesto adalah simbol apa kerajaan akan buat jika parti itu menang PRU. Tapi bukan semua janji itu akan dilaksanakan, hanya sebahagian. Parti politik mesti jalankan kajian dan lihat apa idea yang nak ditawarkan kepada rakyat,” katanya.

Pengundi sedar

Minggu lalu, BN bersetuju untuk mengangkat tema ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ dalam manifesto PRU15.

Sementara Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berkata gabungan itu dijangka akan melancarkan manifesto pada 20 Oktober ini.

“...kami tak mahu (manifesto) yang panjang. (Sebaliknya) kita akan cuba sedaya upaya sebaik mungkin. Tetapi teras manifesto mesti (berkaitan) kos sara hidup, pendidikan, kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan serta menghapuskan rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata pengundi kini sudah bijak dan tidak lagi boleh diperdaya dengan janji kosong.

Beliau menggesa parti politik untuk melihat semua aspek sebelum mengeluarkan janji pilihan raya masing-masing.

“Jika kita kata hapuskan tol demi pilihan raya saya rasa itu tak wajar. Kita perlukan jalan bertol untuk penyelenggaraan jalan, tak boleh percuma tapi boleh dikurangkan.

“Sama dengan pendidikan percuma. Kita buat kenyataan populis tapi pada akhirnya mampukah kita menyediakan polisi itu kepada rakyat? Kewangan kita sudah cukup kukuh untuk berbuat demikian?

“Saya fikir kita kena realistik dan tidak janjikan bulan bintang. Lebih-lebih lagi pengundi zaman sekarang semua dah celik, mereka tahu politik dan tidak mudah diperdaya ahli politik,” katanya. – 17 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan