Iklan

Bantuan makanan Orang Asli perlu disusun sebelum musim tengkujuh, kata aktivis

Noel Achariam2 years ago17th Oct 2022Berita
49932956857 33c1d69a3d c
Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas berkata sebelum bantuan makanan diagihkan kepada Orang Asli, beberapa perkara mesti dilihat pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2022.
Iklan

BANTUAN makanan untuk masyarakat Orang Asli perlu ditangani sebelum musim tengkujuh, kata kumpulan aktivis.

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas berkata isu seperti bancian yang betul, aspek logistik dalam penghantaran dan penyimpanan makanan mesti diteliti.

Colin berkata sebelum bantuan makanan diagihkan kepada Orang Asli, beberapa perkara mesti dilihat pihak berkuasa.

“Pertama ialah betulkan bancian mereka. Data mereka mesti betul tentang (berapa banyak) kampung yang ada.

“Berapa banyak keluarga yang ada (di kawasan terjejas)? Sebab dulu semasa bantuan makanan diberikan kepada Orang Asli, contohnya ketika pandemik Covid-19, ada yang disisihkan kerana data lama dan tidak mengambil kira bilangan keluarga baharu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nicholas menganggarkan terdapat lebih 20,000 keluarga Orang Asli di Semenanjung.

Beliau berkata menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), terdapat 853 kampung berdaftar dengan jabatan itu dan mereka mengetahui sebanyak 126 kampung berpecah dan bertambah.

“Tetapi, kami percaya terdapat lebih 300 perkampungan tambahan dan berpecah. Kawasan ini harus dimasukkan kerana kebanyakannya terdedah kepada banjir.”

Nicholas berkata, daripada jumlah kampung yang berdaftar, kira-kira 35% hingga 40% akan terjejas sekiranya banjir berlaku.

Dianggarkan terdapat lebih 20,000 keluarga Orang Asli di Semenanjung, kata Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2022.

Beliau berkata, terdapat dua jenis isu yang akan memberi kesan kepada Orang Asli sekiranya hujan lebat berlaku.

“Yang pertama apabila banjir, paras air meningkat dan mereka kemudiannya perlu bergerak ke tempat lebih tinggi.”

Katanya, isu lain ialah banjir lumpur dan banjir kilat di mana bencana berlaku dalam sehari tetapi kesannya berpanjangan.

“Jadi, Orang Asli di kawasan berbeza akan mengalami isu yang berbeza. Jika hujan berterusan, lebih ramai penduduk akan terjejas, bukan sahaja di kawasan rendah tetapi di pedalaman.”

Nicholas berkata, isu lain ialah kemusnahan tanaman ubi kayu akibat banjir.

“Ini kerana tanaman itu penting bagi mereka demi kelangsungan hidup dan bekalan kecemasan.

“Jika semua makanan mereka habis, mereka boleh bergantung pada pokok ubi kayu selagi masih ada. Tetapi jika banjir, tanaman ini juga akan musnah.”

Katanya, Jakoa mesti memainkan peranan lebih besar dalam menyediakan perkhidmatan diperlukan dan penting untuk masyarakat Orang Asli.

Beliau juga berkata jabatan di peringkat Persekutuan sepatutnya menilai kampung berdasarkan risiko banjir dan mempunyai perancangan yang betul untuk mendapatkan bantuan makanan, menggantikan barang-barang yang rosak akibat banjir dan menyediakan pelan pemindahan.

“Sebab itu mereka perlu mengenal pasti kawasan ini. Di Selangor dan Perak, mereka boleh menyampaikan bantuan makanan walaupun banjir.

“Tetapi di kawasan pedalaman yang sukar diakses kerana banjir, mereka hanya boleh masuk menggunakan helikopter,” katanya.

Tambahnya, mempersiapkan agensi itu mampu menyediakan bantuan makanan walaupun sebelum banjir melanda kawasan pedalaman ini.

Beliau berkata kawasan pedalaman yang berpotensi terjejas ialah di Gua Musang, Kelantan dan kawasan tertentu di empangan Gerik dan Temenggor di Perak.

Beliau berkata Jakoa boleh memberi tumpuan kepada kawasan tersebut sebelum musim tengkujuh.

“Kini tiba masanya untuk meletakkan pelan tindakan mereka sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

“Kawasan-kawasan ini perlu diisi (dengan bantuan makanan). Mereka kemudian boleh menghantar barangan ke kampung sekitar.

“Jika tidak, tiada pilihan lain selain menghantarnya menggunakan helikopter dan pastinya jumlah yang boleh dibawa terhad malah kosnya tinggi.” – 17 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan