Iklan

Warisan mahu bergerak solo pada PRU15, kata penyelaras 

Noel Achariam2 years ago19th Oct 2022Berita
Iklan

WARISAN bertegas untuk bergerak secara solo pada pilihan raya umum akan datang dan hanya akan memutuskan sebarang kerjasama dengan gabungan lain selepas pilihan raya, kata ketua penyelaras Semenanjungnya Dr Rajiv Bhanot.

Beliau berkata buat masa ini parti itu tidak akan menyertai mana-mana gabungan tetapi ada kemungkinan kerjasama selepas pilihan raya.

“Parti itu akan bergerak sendiri pada PRU15. Ia (keputusan) bukan kerana terlalu yakin atau sombong, tetapi sudah jelas bahawa kita perlu fokus untuk menyatukan dan membina rumah kita (Warisan) terlebih dahulu.

“Apa yang berlaku selepas PRU15, kita perlu tunggu dan lihat. Jika kita mahu menjadi kuasa kestabilan itu, kita perlu memastikan bilangan kita (pengundi) kukuh. Jadi, tumpuan kita sekarang adalah di lapangan dan jentera kita utuh,” kata Rajiv kepada The Malaysian Insight.

Rajiv berkata tumpuan kini adalah mendapatkan sebanyak mungkin kerusi dan pasca PRU15 untuk menjadi kuasa penstabil.

“Jika semua gabungan lain tidak mempunyai cukup sokongan, maka kita (Warisan) boleh masuk sebagai pasukan penstabil.

“Kami tidak mahu menjadi sebahagian daripada gabungan (sekarang) yang bergerak keluar (selepas PRU15). Kami akan memutuskan hala tuju yang kami mahu ambil selepas pilihan raya.”

Warisan ialah parti berpangkalan di Sabah yang ditubuhkan pada 2016 oleh Mohd Shafie Apdal. Bekas ketua menteri Sabah itu kemudian memutuskan untuk mengembangkan parti dan membawanya ke peringkat nasional pada Disember 2021.

Parti itu memenangi sembilan kerusi pada PRU14 dan menjadi enam kerusi di Sabah dan satu kerusi di Labuan apabila Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.

Warisan kini mempunyai 100,000 ahli berdaftar di Semenanjung.

Rajiv berkata bahawa pengundi di Semenanjung keliru dengan senario politik yang sengit selama tiga tahun dan itulah sebabnya Warisan cuba membina platform yang konsisten.

“Warisan konsisten, kita tidak mengkhianati mandat rakyat yang diberikan kepada parti pada PRU14.

“Tetapi pada 2020 itu menyebabkan kedudukan kami dalam kerajaan persekutuan yang membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri Sabah (selepas Langkah Sheraton).

“Fokus kami sekarang adalah untuk menyatukan dan memenangi kerusi sebanyak mungkin.”

Beliau berkata selepas PRU15 mereka perlu keluar daripada politik kebencian kerana politik dendam tidak akan menguntungkan sesiapa.

“Kita tidak akan pulih sebagai sebuah negara selepas PRU15 jika kita berdepan satu penggal lagi ketidakstabilan politik,” tambah Rajiv. – 19 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan