Iklan

Warisan yakin boleh menang di Semenanjung

Noel Achariam2 years ago19th Oct 2022Berita
Iklan

WARISAN mahu bertanding di Semenanjung kerana yakin akan menang beberapa kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Dr Rajiv Bhanot.

Mempertaruhkan calon boleh menang, ketua penyelaras Warisan di Semenanjung itu memberitahu The Malaysian Insight, parti itu mengintai peluang untuk bertanding di semua negeri kecuali di Pahang dan Terengganu.

“Warisan tidak gentar untuk melalui jalan sukar.

“Kami mempunyai keyakinan di kawasan yang kami putuskan untuk bertanding, dan calon yang akan diumumkan dalam masa terdekat adalah calon boleh menang,” katanya.

Minggu lepas, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dilapor media berkata selain Sabah parti itu juga akan bertanding bagi merebut beberapa kerusi Parlimen di tujuh negeri di Semenanjung pada PRU15.

Katanya, Warisan telah mengenal pasti beberapa kerusi Parlimen di Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Perak yang berpotensi untuk ditandingi, namun jumlahnya masih belum dimuktamadkan.

Berkenaan keputusan untuk tidak bertanding di Pahang dan Terengganu, Rajiv berkata Warisan hanya memberi tumpuan kepada negeri dan kerusi yang berpotensi memberi kemenangan.

“Kami telah menilai kekuatan kami dan tempoh PRU15 semakin hampir. Sebab itu kami harus bersikap selektif,” ujarnya.

Ketua penyelaras Warisan di Semenanjung Dr Rajiv Bhanot. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Oktober, 2022.

Warisan yang beribu pejabat di Sabah ditubuhkan pada 17 Oktober 2016 oleh Shafie. Disember tahun lalu bekas ketua menteri Sabah itu berhasrat untuk memperluaskan sayap partinya hingga ke Semenanjung.

Pada pilihan raya umum 2018, parti itu menang sembilan kerusi parlimen termasuk Parlimen Labuan.

Mengulas lanjut mengenai PRU15 akan datang, Rajiv berkata Warisan sedar tidak mudah untuk bertanding solo kerana bukan sebahagian daripada mana-mana gabungan.

“Jika kami mahu bertanding maka kami sasarkan kemenangan. Kami mengambil pendekatan pragmatik dalam memilih kerusi yang akan ditandingi.

“Namun kami ada Shafie, seorang pemimpin negara. Pengundi tidak akan mengundi semata-mata kerana parti.

“Pengundi sekarang mahu tahu siapa calon, pemimpin dan individu yang akan bertanding,” jelas Rajiv.

Menurutnya, ahli berdaftar Warisan di Semenanjung setakat ini seramai 100,000 orang.

Bercakap mengenai pemilihan calon pula, Rajiv berkata mereka yang akan dicalonkan adalah penduduk tempatan.

“Mereka adalah golongan muda dan profesional. Doktor, peguam, pensyarah, dan ada yang berpengalaman dalam politik.

“Kami sudah mengenal pasti siapa mereka. Presiden sedang meneliti senarai calon dan akan umum dalam masa terdekat, harapnya hujung minggu inilah,” katanya.

Rajiv seterusnya menegaskan pemilihan calon Warisan bagi PRU15 perlu dibuat dengan begitu teliti.

“Kami mahu calon yang boleh menang. Ini salah satu kriteria yang akan dinilai oleh pengundi kelak sebelum membuang undi.” – 19 Oktober, 2022.     

Iklan
Iklan