Iklan

Rafizi mungkin berjaya tarik pengundi atas pagar, kata pemerhati politik

Alfian Z.M. Tahir2 years ago19th Oct 2022Berita
Rafizi ramli (2)
Inisiatif Rafizi Ramli memberi peluang kepada orang ramai menjadi calon PKR pada PRU15 dilihat sebagai langkah berani terdapat beberapa akibat yang mungkin perlu dipertimbangkan oleh beliau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2022.
Iklan

INISIATIF Rafizi Ramli untuk menarik rakyat biasa mencalonkan diri mereka sebagai calon pilihan raya mungkin menarik perhatian pengundi atas pagar dan boleh memberi parti maklum balas yang baik daripada orang ramai tetapi langkah itu mungkin tidak mendapat sambutan daripada ahli parti, kata pemerhati politik.

Mereka berkata walaupun pendekatan itu mungkin dilihat sebagai langkah berani timbalan presiden PKR, terdapat beberapa akibat yang mungkin perlu dipertimbangkan oleh Rafizi.

Pakar juga mengulas tindakan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menamakan kumpulan masyarakat sivil dan individu sebagai calon pilihan raya mereka tetapi menegaskan idea itu mungkin hanya menarik sayap kanan daripada kelas menengah atas Melayu Islam.

Khamis lalu, Rafizi memperkenalkan laman web baharu, calonkeadilan.org, yang membolehkan sesiapa sahaja  mencalonkan diri untuk mewakili PKR pada pilihan raya akan datang.

Individu berkenaan diminta memberikan data peribadi termasuk pekerjaan dan pendapatan mereka, kelayakan akademik, akaun Facebook, butiran ahli keluarga dan juga butiran bank seperti pinjaman semasa dan nombor akaun.

Pemohon hanya perlu memenuhi syarat biasa untuk menjadi calon pilihan raya di Malaysia, dengan syarat tambahan mereka berdaftar sebagai ahli PKR.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar berkata, orang ramai mungkin menyukai idea itu dan akan mempertimbangkan untuk mengundi calon PKR pada pilihan raya berikutan inisiatif Rafizi yang dilihat terbuka dan telus.

Ini dicerminkan oleh Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia yang menambah Rafizi tidak bersaing dengan GTA Dr Mahathir Mohamad tetapi untuk memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai.

“Ini adalah alternatif yang baik untuk pengundi, terutamanya atas pagar. Kita tahu pengundi atas pagar lebih terbuka berbanding pengundi parti tetapi masalah bagi Rafizi ialah ia mungkin tidak diterima baik dengan ahli parti,” kata Hisomuddin.

“Bagaimana beliau mengendalikan atau memastikan keadaan harmoni dalam parti? Itu adalah sesuatu yang beliau perlu fikirkan, atau mungkin beliau sudah tahu bagaimana untuk menanganinya.”

Mazlan dalam pada itu berkata pendekatan GTA mungkin hanya mendapat perhatian kumpulan Melayu sayap kanan.

“Saya bersetuju apa yang Rafizi lakukan adalah idea baharu yang mungkin diterima baik oleh rakyat Malaysia biasa. Beliau memberi peluang kepada rakyat biasa untuk berkhidmat, bukan kepada ahli parti.

“Pastinya pengundi muda atau pengundi kali pertama akan cenderung untuk melihat apa yang beliau tawarkan dan ini akan menarik minat pengundi.

“Bagaimanapun bagi GTA, saya tidak fikir mereka akan mendapat sokongan daripada kumpulan masyarakat sivil kerana kita tahu kumpulan ini bukan sayap kanan, mereka berfikiran terbuka dan tidak akan memperjuangkan sesuatu kaum atau agama.

“Mereka yang cenderung menyokong agenda Melayu Islam mungkin mengundi GTA tetapi segmennya terhad. Tidak semua kumpulan pro-Melayu menyokong Dr Mahathir, ada yang masih pro-Umno dan sekarang mungkin ada juga yang mahukan Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin,” kata ahli akademik itu.

Pada awal September, GTA menyerahkan permohonannya untuk didaftarkan sebagai gabungan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pada 4 Ogos, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA, yang merupakan parti berasaskan Melayu terdiri daripada kumpulan masyarakat sivil, ahli akademik serta profesional.

Gerakan itu termasuk partinya Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Kebangsaan (Iman).

Dr Mahathir yang juga pengerusi Pejuang, berkata tumpuan akan diberikan kepada kemenangan di kawasan majoriti Melayu, menyasarkan 120 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.

Semalam, dilaporkan GTA mencalonkan bekas ketua polis negara Hamid Bador untuk menentang Mohamad Hasan daripada Umno di Rembau. – 19 Oktober, 2022.     

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan