Tak perlu pecat, kami boleh letak jawatan sendiri, kata menteri PN
Iklan
MENTERI Perikatan Nasional (PN) Abdul Latiff Ahmad hari ini membidas kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang beliau boleh memecat semua 12 menteri PN kerana memohon agar Agong batalkan pembubaran Parlimen.
Abdul Latiff, yang merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) berkata ucapan Ismail Sabri semasa Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Bagan Datuk baru-baru ini sebagai tidak wajar.
“Dalam ucapan selama 36 minit itu dinyatakan terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat serta mengelirukan. Terutamanya mengenai apa yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaaah Menteri.
“Kabinet hanya bincang perkara dasar dan polisi untuk rakyat. Kita tidak bincang hal-hal politik berparti.
“Kita berbincang hal persediaan pilihan raya bersekali dengan persediaan bencana, monsun timur laut dan persediaan Belanjawan 2023. Malah, pembentangan Belanjawan 2023 diawalkan mendapat persetujuan anggota Kabinet lebih awal.
“PM ada menyatakan kita utamakan persediaan bencana, monsun timur laut dan kos barangan daripada perkara PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15),” kata Abdul Latiff dalam satu kenyataan.
Anggota Bersatu itu menambah, jika Ismail Sabri menyatakan niat untuk bubar Parlimen semasa mesyuarat Kabinet lepas, beliau percaya setiap Jemaah Menteri akan bersetuju.
“Malah pada pagi Jumaat 7 Oktober 2022 seorang menteri kanan bertanyakan ‘bila nak bubar?’. PM masih berteka-teki dengan anggota Kabinet.
“Perkataan seperti ‘pecat menteri’ walaupun itu kenyataan gurau dan sinikal, tidak perlu dicakapkan dałam program politik.
“Memang kita tahu perdana menteri mempunyai kuasa ‘hire and fire’, namun kami pun ada maruah, tidak perlu pecat kami, kami pun boleh letak jawatan lebih awal.
“Kami masih lagi anggota Kabinet ‘caretaker’. Masih belum terlambat untuk dipecat. Mungkin PM boleh mencipta sejarah dengan memecat anggota Kabinet dalam masa ‘injury time’,” kata Abdul Latiff.
Pada Isnin, Ismail Sabri berkata beliau “tersilap” kerana tidak memecat 12 menteri PN yang menghantar surat memohon Yang di-Pertuan Agong membatalkan pembubaran Parlimen.
Bagaimanapun, naib presiden Umno itu berkata beliau tidak bertindak demikian kerana beliau seorang yang “baik dan lemah lembut”. – 19 Oktober, 2022.