Cikgu Fadli bebas sebab PRU, desakan rakyat, kata DAP
Iklan
CIKGU Fadli tidak dikenakan tindakan tatatertib atas kritikannya terhadap Kementerian Pendidikan (KPM) kerana desakan orang ramai dan juga pilihan raya umum (PRU) semakin hampir, kata Lim Guan Eng.
Pengerusi DAP itu berkata rakyat Malaysia meraikan Cikgu Fadli atau nama sebenarnya Mohd Fadli Mohamed Salleh dari Sekolah Kebangsaan (1) Gombak kerana dibersihkan daripada sebarang salah laku oleh KPM.
“Jelas bahawa Mohd Fadli dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan Kementerian Pendidikan terhadapnya kerana pilihan raya umum yang tidak lama lagi dan sokongan orang ramai yang memaksa Perdana Menteri sementara Ismail Sabri menzahirkan kebimbangannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata demikian berikutan kritikan terbuka Cikgu Fadli terhadap sistem pendidikan dan silibus matematik murid sekolah rendah yang secara kebiasaannya akan dikenakan tindakan tatatertib.
Cikgu Fadli sebelum ini tular berikutan dakwaannya yang beliau akan dipecat atau diturunkan pangkat kerana mengadu tentang sukatan pelajaran tidak sesuai untuk murid.
Beliau pada mulanya mengadu tentang jumlah murid yang ramai, jumlah silibus yang diajar, serta murid terpaksa membawa beg berat ke sekolah.
Cikgu Fadli berkata, beliau telah mengadu kepada jabatan pendidikan daerah dan negeri, tetapi tiada tindakan daripada pihak berwajib justeru beliau menyuarakan kebimbangannya di media sosial.
Semalam Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan membebaskan guru sekolah rendah itu daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya, berdasarkan surat daripada KPM bertarikh hari ini yang bocor di media sosial.
Lim juga mengibaratkan kisah Cikgu Fadli seperti dongeng klasik budak yang persoalkan kenapa maharaja bogel tidak memakai pakaian.
“Cikgu Fadli turut membayangkan bahawa beliau telah diselamatkan oleh PRU apabila meminta semua parti politik menyatakan kebimbangan mengenai kegagalan sistem pendidikan dan sistem rosak yang dikendalikan KPM dalam manifesto pilihan raya umum mereka.
“Mungkin pilihan raya umum perlu diadakan setiap tahun supaya rakyat berani seperti Cikgu Fadli yang mendedahkan sistem pendidikan yang rosak tidak akan menjadi mangsa tetapi dilindungi oleh kemarahan rakyat dan ketakutan kerajaan kehilangan undi.”
Tambahnya, surat tunjuk sebab perlu dihantar kepada Menteri Pendidikan kerana tidak mengaku bahawa mereka telah mengendalikan sistem yang bukan sahaja mengecewakan guru malah pelajar.
“Masalah yang dinyatakan oleh Cikgu Fadli itu turut melibatkan kawasan parlimen saya di Bagan, di mana sekolah tidak menerima sebarang pembiayaan untuk pembaikan asas pintu, tandas, kawasan, bangunan dan penghawa dingin.
“Melainkan tindakan pemulihan segera diambil sekarang, pertemuan Menteri Pendidikan dengan Cikgu Fadli hanyalah sandiwara atau drama semata-mata untuk memperdayakan pengundi bahawa kerajaan mengambil berat terhadap masalah yang berlaku.” – 19 Oktober, 2022.