Iklan

Polis siasat dakwaan kes culik kaitkan perisikan Israel

Alfian Z.M. Tahir2 years ago19th Oct 2022Berita
49929179896 86679e43d7 o
Iklan

POLIS masih belum mengesahkan sama ada agensi perisikan Israel Mossad dalang di sebalik penculikan seorang lelaki Palestin bulan lepas kerana siasatan masih dijalankan, kata polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata laporan media semalam yang mengaitkan penculikan itu dengan Mossad telah mengganggu siasatan mereka.

“Saya tidak tahu bagaimana dakwaan itu timbul dan saya tidak tahu dari mana (media) mendapatkan (maklumat),” kata Azmi kepada pemberita hari ini.

Semalam New Straits Times (NST) melaporkan Mossad mengupah ejen tempatan untuk menculik seorang warga Palestin yang disyaki mempunyai kaitan dengan Hamas.

Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy bagi mendapatkan maklumat mengenai perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Edy Ko’im Said, 40, Mohamad Norakmal Hassan, 41, Dody Junaidi, 42, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39, Mohamad Naziree Mustapha, 39, Faizull Hardey Mohd Isa, 40, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25, Mohamad Sufian Saly , 23, Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21, Nidarahayu Zainal, 34, dan Raibafie Amdan, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Mayang di Kuala Lumpur pada 10.40 malam, 28 September dan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tidak diketahui sama ada kesemua 11 individu itu turut dikaitkan dengan dakwaan penculikan yang dilaporkan oleh NST semalam.

Sementara itu, dilaporkan polis telah memanggil pengarang kumpulan NST Farrah Naz Karim untuk disoal siasat hari ini, dipercayai berhubung artikel yang dimuatkan dalam akhbarnya semalam. – 19 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan