Anwar janji potong gaji, elaun PM dan kabinet lebih kecil
__full.jpg)
Iklan
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berjanji perkara pertama yang akan dilakukannya adalah memotong elaun perdana menteri jika gabungan itu menjadi kerajaan dan beliau perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Beliau juga menjanjikan saiz Jemaah Menteri yang lebih kecil serta membayangkan gaji dan elaun yang lebih rendah untuk menteri dan timbalan menteri.
Presiden PKR berkata beliau akan melaksanakan langkah itu sebagai contoh terbaik yang mampu dilakukannya jika diberi mandat mentadbir kelak.
“Jumlah jemaah menteri harus dikurangkan, gaji menteri dan timbalan menteri dikurangkan lebih rendah dari sekarang.
“Kita mesti mulakan dari atas, beri mandat terima kasih, mandat kepada Anwar adalah mandat dari rakyat, pemimpin mesti pegang amanah bela nasib rakyat, kemuka contoh terbaik rakyat hidup susah derita.
“Biar saya beri jaminan, kalau diizin Allah, 20 November dinobatkan perdana menteri, pertama saya lakukan potong gaji, elaun perdana menteri itu sendiri,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian di Konvensyen PH yang dianjurkan di Ipoh, Perak, malam tadi.
PRU15 akan dijalankan pada 19 November dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 November sebagai hari penamaan calon untuk 14 hari tempoh berkempen.
“(Potong gaji) menteri saya runding kemudian. Untuk perdana menteri, kalau keadaan ekonomi sekarang, saya tak sanggup ambil gaji sebagai perdana menteri… ya,” kata Anwar.
Dalam program itu Anwar turut mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun, kerusi yang disandang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.
Dalam ucapannya Anwar berkata pemimpin harus menunjukkan kasih sayang kepada rakyat untuk membolehkan rakyat menghargai mereka.
“Kita harus kemuka barisan pimpinan yang kasih kepada rakyat dengan cara itu rakyat akan kasih kepada kita,” katanya.
Program malam tadi turut menyaksikan Ketua Setiausaha Seketariat PH Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Anwar adalah calon perdana menteri PH, sekiranya gabungan itu berjaya kembali ke Putrajaya.
Saifuddin turut mengumumkan komponen PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah, dan UPKO selesai rundingan pengagihan kerusi.
Namun begitu, rundingan dengan parti luar daripada komponen PH akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Rundingan berikutnya dengan parti bukan PH yang kita putuskan bersama melalui pendekatan pakatan pilihan raya akan diselesaikan dua, tiga hari ini bagi capai keputusan muktamad,” kata Saifuddin Nasution.
PH sebelum ini mengumumkan pakatan pilihan raya dengan Muda dan PSM.
Pada konvensyen malam tadi, PH turut memperkenalkan slogan “Kita Boleh” sebagai laungan bersama untuk menghadapi PRU15 selain pelancaran lagu “Malaysia Kita Boleh” dan maskot Sang Kancil bernama “Jaguh” yang akan digunakan dalam pilihan raya kali ini. – 21 Oktober, 2022.