Iklan

Tiada kerjasama dengan PBM, kata Kuasa

Noel Achariam2 years ago22nd Oct 2022Berita
Parti kuasa rakyat 101021 tmiseth 01
Parti Kuasa Rakyat yang dipimpin Kamarazaman Yaakob dilancarkan pada 10 Oktober tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2022.
Iklan

PARTI Kuasa Rakyat (Kuasa) tidak akan bekerjasama dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata presidennya Kamarazaman Yaakob.

Kamarazaman memberitahu The Malaysian Insight, tiada kerjasama akan dijalinkan kerana kedua-dua parti mempunyai ideologi yang berbeza.

Abang kepada perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob itu juga berkata partinya tidak akan bergabung dengan Parti Tindakan Rakyat Malaysia (Mira).

Kamarazaman melancarkan Kuasa pada 10 Oktober tahun lalu. Katanya, parti itu buat masa ini akan menyokong Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

“Kuasa tidak akan bekerjasama dengan PBM dalam pilihan raya nanti kerana perbezaan beberapa perkara.

“Kami juga tidak akan bergabung atau mengambil alih Mira, juga kerana perbezaan,” katanya ketika ditemu bual.

PBM dipimpin oleh Zuraida Kamaruddin, bekas ahli Parlimen PKR yang keluar parti semasa ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Penyandang kerusi Parlimen Ampang itu kemudian masuk Bersatu sebelum umum menyertai PBM pada Mei lalu.

Pada 28 Ogos lalu, Kamarazaman umum Kuasa akan bekerjasama  dengan PBM bagi menghadapi PRU15. Katanya, kedua-dua parti itu berkongsi prinsip yang sama dan akan menjadi gabungan politik yang mesra kerajaan.

“Kuasa mesra dengan BN dan gabungan kerajaan hari ini.

“Dengan menggabung usaha, kita akan ada kekuatan yang diperbaharui dan boleh dilihat sebagai kuasa utama politik negara,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu ketika itu.

Mengulas lanjut, Kamarazaman berkata Kuasa akan bergabung dengan PBM menjadi satu parti namun perkara itu akan diputuskan pada Mesyuarat Agung Tahunan PBM pada 1 Oktober.

Disember lalu, Kamarazaman dilapor telah dilantik sebagai presiden sementara Mira tetapi digugurkan daripada jawatan itu pada Februari ekoran isu teknikal berkenaan perlembagaan parti.

Ketika melancarkan Kuasa tahun lalu, Kamarazaman berkata partinya itu tidak akan mampu mencapai matlamat jika berada dalam blok pembangkang.

Mengulas lanjut mengenai PRU15, Kamarazaman ketika ditemu bual berkata partinya tidak akan bertanding dalam pilihan raya itu.

“Dari segi kekuatan, kami tidak dapat menyertai pilihan raya tetapi kami akan membantu BN. Kami tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk memasuki pilihan raya.

“Saya beritahu ahli parti bahawa kita perlu menyokong BN dalam pilihan raya nanti, “katanya. – 22 Oktober, 2022.     

Iklan
Iklan