Iklan

Anwar tanding di Tambun isyarat Pakatan mahu tawan Perak, kata penganalisis

Noel Achariam2 years ago22nd Oct 2022Berita
Anwar ibrahim tmi 01
Penganalisis politik berkata keputusan Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 akan menyuntik semangat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menang di Perak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2022.
Iklan

KEPUTUSAN Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menyuntik semangat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menang di Perak, kata penganalisis politik.

Malah ia akan memberi Anwar peluang yang baik untuk merampas kerusi itu daripada Bersatu.

Kata mereka lagi, keputusan pengerusi PH itu beralih dari kerusi Parlimen Port Dickson ke Tambun membuktikan bahawa beliau tidak gentar untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu dan separa bandar, serta yakin akan menang di situ.

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, menang atau kalah Anwar di Tambun bergantung kepada reputasi presiden PKR itu.

“Beliau ada peluang di situ. Tambun adalah kawasan separa bandar, tidak jauh dari Ipoh.

“Dengan bank undi PH, ditambah pula dengan karisma Anwar, beliau mungkin boleh menang kerusi Tambun,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kelmarin, Anwar mengesahkan beliau akan bertanding kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, manakala tarikh penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

Menurut Tunku Mohar, kehadiran Anwar di Perak akan merangsang semangat PH untuk menawan Perak.

“Pada pandangan saya, Anwar mahu buktikan yang beliau berani menyahut cabaran baharu. Beliau juga mahu menyampaikan mesej bahawa pengkhianat harus dikalahkan pada pilihan raya kali ini.

“Juga dengan Anwar, calon perdana perdana PH, bertanding di Perak sudah pastinya akan membuatkan pengundi di Tambun teruja untuk mengundi,” ujarnya.

Mengulas mengenai prestasi PH di Perak, Tunku Mohar berkata kedudukan gabungan itu kuat di kerusi bandar dan separa bandar pada PRU14, manakala Barisan Nasional (BN) di luar bandar dan separa luar bandar.

“Saya percaya ‘mood’ pengundi masih sama, tetapi kali ini dengan cabaran baru dari Perikatan Nasional (PN).”

Tambahnya, perebutan di kerusi Tambun akan menjadi sengit jika PN meletakkan penyandangnya iaitu Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, berdasarkan reputasinya sebagai bekas menteri besar Perak.

Ahmad Faizal menang kerusi Tambun pada PRU14 atas tiket PH menggunakan logo PKR, dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional dan PAS. Bersatu ketika itu berada dalam gabungan PH.

Tunku Mohar bagaimanapun berpandangan Anwar mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang.

“Kekuatan sebenar Bersatu akan diuji dalam pilihan raya kali ini. Kalau dinilai dari segi kekuatan, saya fikir Anwar boleh kalahkan Peja (Ahmad Faizal),” katanya.

Kerusi Parlimen Tambun disandang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2022.

Perak negeri barisan hadapan PRU15

Penganalisis politik dari Universiti Tasmania James Chin berkata, keputusan Anwar untuk bertanding di Tambun menunjukkan pengerusi PH itu sedar beliau mempunyai peluang yang cerah untuk menang, mungkin dengan majoriti besar.

“Anwar perlu berhati-hati memilih kerusi mana untuk ditandingi, dan beliau memilih Tambun kerana tahu beliau juga boleh ‘mengusir’ pengkhianat PH.

“Ini juga mesej Anwar untuk menjadikan Perak sebagai negeri barisan hadapan yang akan ditawan pada PRU15. Apa yang Anwar cuba tunjukkan ialah beliau mengetuai PH untuk menawan Perak dan percaya beliau akan menang besar,” kata Chin kepada The Malaysian Insight.

Ditanya berkenaan sokongan pengundi kepada PH pula, Chin berkata ia sukar untuk diukur ketika ini, namun gabungan itu diterima di Perak selepas berjaya menawan negeri itu pada PRU14.

Beliau juga berkata peluang Anwar untuk menang di Tambun akan lebih mudah jika berlaku pertandingan banyak penjuru.

Sementara itu, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata keputusan Anwar untuk bertanding di kerusi Tambun pada PRU15 adalah antara strategi untuk mencapai beberapa matlamat PH.

“Pertama, untuk menerajui kemungkinan PH kembali berkuasa di Perak.

“Kedua, bagi membuktikan beliau boleh menang di kerusi majoriti Melayu (70%). Dan ketiga, beliau sudah pasti beranggapan Tambun adalah kerusi selamat,” katanya. – 22 Oktober, 2022.     

Iklan
Iklan