Iklan

Dr Mahathir rela jadi umpan pembangkang untuk tarik undi Melayu 

Melati A. Jalil7 years ago2nd Mar 2018Berita
Mahathir mohamad kampung baru meeting 06
Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad berkata dengan pengaruh yang beliau masih ada, beliau perlu memainkan peranannya untuk membuang perasaan takut orang Melayu untuk mengundi pembangkang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 Mac, 2018.
Iklan

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad hari ini memberitahu penduduk Kampung Baru beliau rela dijadikan umpan bagi memenangi hati pengundi Melayu untuk pembangkang.

Bekas perdana menteri itu berkata terdapat pengundi Melayu yang masih takut untuk mengundi pembangkang dan memandangkan beliau masih mempunyai pengaruh terhadap kumpulan etnik terbesar di negara ini, Dr Mahathir berkata beliau perlu memainkan peranannya untuk membuang perasaan takut mereka.

“Umur saya hampir mencecah 93 tahun, berapa lama lagi saya boleh jadi perdana menteri? Tetapi, jika saya boleh digunakan sebagai umpan untuk tarik lebih ramai Melayu sokong Pakatan Harapan, saya rela,” kata beliau dan disambut dengan sorakan yang kuat dari 200 hadirin di sebuah majlis di perkampungan Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur.

“Sekiranya mereka mahu saya jadi perdana menteri (jika PH menang Pilihan Raya Umum ke-14), saya akan jadi.

“Tapi saya dah berumur 93 tahun, saya tiada niat nak jadi perdana menteri sampai mati. Tetapi dengan pengalaman saya, saya rasa saya boleh bantu kerajaan baru perbaiki masalah negara kita - seperti hutang banyak.

Kampung Baru merupakan salah sebuah perkampungan Melayu tertua di Kuala Lumpur dan menempatkan beberapa bangunan bersejarah seperti Kelab Sultan Sulaiman.

Pada 1940, kelab berusia 117 tahun itu menjadi tuan rumah persidangan wartawan Melayu pertama, pelopor kepada kelahiran Umno pada 1946 sebagai kongres Melayu pertama.

Ketika rusuhan Mei 1969, ia menjadi tempat perlindungan bagi ratusan rakyat.

Dr Mahathir berkata sekiranya PH berjaya dalam usahanya untuk mengguling kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU14, ia akan membentuk jawatankuasa Kampung Baru yang akan memberi nasihat kepada kerajaan baru mengenai pembangunan kampung itu. – 2 Mac, 2018.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan