Muda minta kurang 15 kerusi Parlimen
Iklan
MUDA meminta kurang daripada 15 kerusi Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan.
Timbalan Presidennya Amira Aisya Abdul Aziz berkata partinya akan bertemu PH dalam beberapa hari ini untuk memuktamadkan kerusi tersebut.
“Perbincangan yang berjalan positif. Saya boleh kata 70% (pembahagian kerusi) selesai sementara yang lain itu pertindihan kerusi,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR.
Penyandang Parlimen Puteri Wangsa itu menambah partinya tidak meminta kerusi dimenangi PH pada pilihan raya yang lalu.
Pada 12 Oktober, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata gabungan itu akan bekerjasama dengan Muda pada pilihan raya umum kali ini.
Namun beliau berkata Majlis Presiden PH memutuskan ia akan diteruskan sebagai pakatan pilihan raya bukan komponen parti.
Katanya hal ini kerana untuk menjadi parti komponen dalam gabungan itu, ia perlu mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Pada awalnya Muda memohon untuk menjadi parti komponen PH lalu PH membentuk jawatankuasa untuk berunding.
PH kemudiannya menetapkan tiga syarat untuk Muda termasuk menyokong calon Perdana Menteri PH, tiada parti akan menuntut untuk bertanding di kerusi yang disandang wakil PH dan Muda perlu mendapat persetujuan Majlis Presiden PH jika mahu bekerjasama dengan parti lain.
Muda dan PH tidak asing susulan kerjasama mereka pada Pilihan Raya Negeri Johor di mana mereka bertanding di tujuh daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Amira menang Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi menewaskan lima calon lain termasuk Ng Yew Aik (Barisan Nasional), Khairil Anwar Razali (Pejuang), Loh Kah Yong (Perikatan Nasional), Steven Choong (Parti Bangsa Malaysia) dan Adzrin Adam (Bebas). – 23 Oktober, 2022.