Anak muda mengeluh rumah terlalu mahal, tiada pilihan selain menyewa
Iklan
FARHANA Fuad sering ditanya, mengapa beliau tidak membeli sahaja kondominium yang disewa bersama suaminya di ibu kota.
Namun Farhana, 27, berkata mereka tidak mampu berbuat demikian kerana pendapatan kedua-duanya masih kurang RM7,000, tidak memadai untuk memiliki rumah sendiri.
“Ia boleh jadi mustahil jika pendapatan saya masih kekal sama serta pada masa sama kos sara hidup semakin meningkat, melainkan kalau saya buat dua atau tiga kerja pada satu masa,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau menolak saranan seperti yang disuarakan Pengerusi UDA Holdings Bhd Dr Mohd Shafei Abdullah pada Februari lalu agar golongan Bumiputera khususnya golongan muda tidak menunggu untuk memiliki hartanah.
Menurut Shafei, golongan muda Bumiputera lebih cenderung untuk berbelanja dan berhutang untuk keperluan jangka pendek seperti kenderaan.
Rumah lebih mahal di bandar
Begitu juga dengan Siti Hazwani Ramli yang berasa mustahil bagi beliau dan suaminya untuk memiliki rumah di kawasan bandar pada masa ini.
Katanya, mereka masih menunggu untuk membeli rumah idaman kerana pendapatan mereka berdua belum mencukupi untuk membeli rumah idaman.
Mereka juga masih menunggu kerana pemilikan rumah memerlukan komitmen besar dan tempoh bayaran lebih lama berbanding barangan seperti kereta atau telefon bimbit.
Beliau bertugas sebagai pembantu sumber manusia dan pendapatan bersih bersama suaminya kini masih kurang RM5,000.
“Saya masih belum memiliki rumah kerana pendapatan saya dan suami masih belum cukup untuk beli rumah idaman kami. Macam saya sendiri, suami lebih gemar rumah bertapak berbanding pangsapuri.
“Ada rumah bertapak yang (sepadan) dengan pendapatan kami tapi jauh dari tempat kerja. Kena tambah dengan kos perjalanan pula nanti.
“Saya sendiri bekerja di syarikat pembangunan hartanah tapi belum mampu untuk beli rumah daripada syarikat sendiri. Apa lagi rumah di Selangor ini mahal,” katanya yang kini berusia 30-an.
Beliau akui rumah di luar bandar jauh lebih murah dari di bandar, tetapi ia mustahil baginya kerana kedua-dua mereka bekerja di bandar.
“Bimbang… tapi saya memang tahu harga rumah akan naik. Tapi nak buat macam mana, gaji tak cukup untuk beli rumah. Anak pun belum ada lagi,” kata Siti Hazwani.
Beliau juga kini menderita akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan dialisis untuk sepanjang usianya – tiga kali seminggu dan mengambil masa empat jam setiap sesi.
“Itu pun perlukan komitmen kewangan juga,” katanya.
Katanya, dengan pendapatan sebanyak itu, belum tentu mereka layak memiliki rumah melalui Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Pada laman webnya, PR1MA menetapkan agar pemohon perlu mempunyai pendapatan antara RM2,500 dan RM15,000 sebulan.
Selain PR1MA, kerajaan turut menawarkan skim Projek Perumahan Rakyat (PPR), skim Rumah Mesra kos sederhana yang mana kedua-duanya di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Harga dua skim rumah selain PR1MA yang ditawarkan itu adalah antara RM42,000 dan RM165,000.
Kenderaan juga keperluan
Bagi Mohamad Elliya Rohiman, 31, beliau mengakui memiliki rumah sememangnya satu yang penting lebih-lebih lagi apabila seseorang itu sudah berkeluarga.
Namun, bagi Elliya apa yang beliau mampu buat masa ini adalah menyewa rumah. Rumah dua tingkat yang didiaminya sekarang di Ipoh hanya disewa pada kadar RM500 sebulan.
Beliau juga terpaksa memiliki dua kereta memandangkan isterinya bekerja dan sukar mendapatkan pengangkutan awam.
“Isteri saya doktor kena on-call atau balik kerja malam setiap hari. Dia perlukan kereta,” katanya.
Katanya, gabungan pendapatan bersama isterinya yang baru saja memulakan alam pekerjaan juga masih belum cukup membeli sebuah rumah pilihan mereka di Setia Alam, Shah Alam.
“Kalau boleh kami hendak tinggal di Shah Alam sebab dekat dengan keluarga. Di Setia Alam pada dua tahun lepas harga rumah murah juga, RM300,000 masa tu. Tapi isteri belum kerja lagi. Gaji saya pula tak cukup.
“Selepas ditolak semuanya, tinggal RM1,000 saja sebab peruntukan rumah sebulan sekurang-kurangnya perlu ada RM1,500.
“Sekarang ini rumah di Shah Alam berharga RM480,000 untuk 1,100 kaki persegi. Jadi macam mana nak beli rumah?,” soalnya yang bercadang untuk membeli rumah dua atau tiga tahun lagi.
Farhana turut sependapat dengan Elliya bahawa memiliki kenderaan sendiri merupakan satu keperluan kerana ia memudahkan seseorang itu untuk bergerak ke mana saja.
“Kereta memudahkan perjalanan tak kira ke mana saja dan hanya memerlukan sembilan tahun maksimum untuk menyelesaikan hutang, berbanding rumah yang harga semakin meningkat sampai orang tak mampu beli.
“Saya harap sebelum umur 35 tahun, saya sepatutnya ada sebuah rumah, paling kurang pun pangsapuri atau mungkin cari penyelesaian dengan pindah ke luar negara untuk mendapatkan pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada bekerja dalam negara,” kata penulis web itu.
Bank Negara Malaysia (BNM) menganggarkan harga rumah maksimum bagi kategori mampu milik di negara ini pada kadar RM282,000 berdasarkan pendekatan beban kos perumahan.
Bagaimanapun, menurut buletin suku tahunannya yang dikeluarkan bulan ini, median harga rumah sebenar ialah RM313,000 (pada 2016).
Harga ini jauh melepasi kemampuan kebanyakan isi rumah, dengan pendapatan median isi rumah kebangsaan hanya RM5,228.
Bank pusat itu turut menegaskan kekurangan bekalan rumah mampu milik terus menjadi masalah.
Komitmen hidup tinggi, gaji lembap, harga rumah mahal
Menurut pakar ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, ramai golongan mudah menangguhkan hasrat memiliki hartanah kerana harga dan komitmen pemilikan yang tinggi.
“(Pemilikan hartanah) memerlukan tabungan secukupnya sebagai bayaran muka bagi pinjaman atau pembiayaan pembelian rumah jangka panjang.
“Ia tidak seperti big-ticket item lain yang selalunya mampu dibeli secara tunai atau menerusi pinjaman atau pembiayaan jangka pendek yang boleh dipohon sama ada tanpa cengkeram sama sekali ataupun deposit yang sangat rendah,” katanya.
Maka tidak hairanlah golongan ini menangguhkan hasrat membeli rumah kerana enggan terikat dengan beban hutang yang besar untuk jangka masa panjang atau tidak memenuhi syarat pinjaman, katanya.
Katanya kepada The Malaysian Insight,
Beliau tidak menafikan terdapat segelintir anak muda yang menghabiskan wang dengan bermewah-mewah dan sanggup berhutang demi keseronokan dan gaya hidup.
Namun Azrul berkata memang ada kalangan anak muda juga yang perlu menganggung komitmen hidup sehingga mengekang mereka daripada memberi hartanah.
Katanya, masalah rumah yang sangat tidak mampu milik di Malaysia seperti yang ditemui hasil kajian Bank Negara Malaysia dan Khazanah Research Institute (KRI), mendorong segelintir anak muda yang sudah bekerja membeli atau melabur secara tunai atau menerusi hutang dalam aset jangka pendek atau susut nilai seperti kenderaan bermotor.
Namun, katanya ia merupakan perkara semula jadi bagi seseorang itu untuk menikmati titik peluh mereka bekerja sebagai ganjaran kepada diri sendiri.
“Hakikatnya, ramai yang tiada kemampuan daripada segi kewangan atau akibat keperluan lain yang lebih mendesak.
“Apatah lagi jika mereka terpaksa menanggung beban menyelesaikan hutang pendidikan atau menyara hidup ahli keluarga yang lain,” katanya.
Beliau menyimpulkan, memang sukar untuk golongan muda yang tidak berasal daripada keluarga berada atau berkeistimewaan untuk memiliki rumah sendiri.
“Melainkan ada bantuan atau sokongan pihak ketiga terutama ibu bapa dan keluarga dalam bentuk simpanan sedia ada bagi bayaran muka pembelian rumah atau campur tangan untuk meringankan beban kos sara hidup harian,” katanya. – 3 Mac, 2018.