Iklan

Anwar calon PM terbaik, kata Kit Siang

Alfian Z.M. Tahir2 years ago24th Oct 2022Berita
Anwar ibrahim tmi 02
Veteran DAP Lim Kit Siang menganggap ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai calon terbaik Perdana Menteri ke-10. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2022.
Iklan

KETUA pembangkang Anwar Ibrahim adalah calon perdana menteri terbaik yang boleh dimiliki negara, kata Lim Kit Siang.

Bercakap pada majlis makan tengah hari di Sarawak, veteran DAP itu berkata hanya Anwar dan Pakatan Harapan boleh mewujudkan Malaysia yang majmuk untuk semua kaum dan agama yang menjadikan negara ini sebagai rumah mereka.

“Untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, kita perlu satukan semua kaum, agama dan kawasan di dalam negara,” kata Lim.

Bekas ahli Parlimen itu berkata, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob terpaksa berpura-pura mempercayai presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berjanji untuk menjadikan naib presiden Umno itu semula sebagai perdana menteri.

Beliau kemudian bertanya sama ada rakyat Malaysia mahu Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin kembali berkuasa selepas mengkhianati mandat rakyat pada 2020 atau lebih suka mempunyai pelampau agama seperti Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai ketua negara.

“Anwar Ibrahim adalah calon yang jauh lebih baik berbanding Zahid Hamidi atau Ismail Sabri dari Umno-BN, Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang dari Perikatan Nasional. Saya tidak merasakan Ismail Sabri benar-benar mempercayai Zahid Hamidi, namun dia perlu berpura-pura untuk menjadi “poster-boy” untuk menjadi Perdana Menteri gabungan Umno-BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Adakah kita mahu Muhyiddin ‘si penikam belakang’ atau Hadi Awang, yang merupakan pelampau Islamis menjadi Perdana Menteri kita?

“BN dan PN tidak menerima Malaysia sebagai negara berbilang kaum, hanya Anwar dan PH boleh menjamin Malaysia menjadi negara untuk semua kaum dan agama.

“Inilah sebabnya Anwar adalah harapan terbaik kami berbanding calon lain dari BN dan PN,” kata Lim.

Lim yang berusia 81 tahun menambah, 22 bulan PH memerintah bukanlah satu kegagalan kerana ia berjaya membanteras rasuah sepanjang tempoh itu.

“Sekiranya PH gagal, Najib (bekas perdana menteri Najib Razak) tidak akan berada dalam penjara sekarang dan pemimpin Umno dan BN tidak akan hidup dalam ketakutan untuk didakwa dengan rasuah dan masuk penjara.

“Kita mesti memperbaharui harapan untuk Malaysia yang lebih baik dan biarlah kita melakukannya pada 19 November 2022,” katanya merujuk kepada tarikh PRU15 akan diadakan. – 24 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan