Tiada jalan mudah untuk Umno pada PRU15, kata Rafizi
Iklan
UMNO-Barisan Nasional mungkin fikir ia boleh memenangi pilihan raya umum namun ia bukan jalan yang mudah kerana rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan prestasinya, kata Rafizi Ramli.
Dalam ceramah malam tadi, timbalan presiden PKR berkata orang ramai tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi semasa dan golongan muda tidak yakin dengan cara kerajaan mengendalikan masa depan mereka.
“63 peratus rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan persekutuan yang diketuai oleh Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob manakala 78 peratus rakyat kecewa dengan keadaan ekonomi negara,” katanya.
Rafizi juga berkata Umno tersilap jika menjadikan pilihan raya negeri Melaka dan Johor sebagai sandaran untuk PRU15 kerana sejarah membuktikan kejayaannya dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar juga tidak berulang semasa Pilihan Raya Umum ke-13.
“Jika mereka dalam Umno atau BN yakin untuk memenangi pilihan raya, mereka tidak mempunyai apa-apa untuk menyokong (keyakinan) itu,” kata Rafizi, memetik kajian yang dijalankan oleh PKR.
Tambah bekas ahli Parlimen itu, Umno tidak boleh terlalu yakin kerana undi orang muda tidak dapat diramalkan pada PRU15.
“Statistik menunjukkan bahawa 84% pengundi muda tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi Malaysia serta pengurusan kerajaan terhadap masa depan mereka.
“Ini kerana isu negara tidak berubah. Malah, mereka semakin teruk kerana kos sara hidup meningkat,” kata Rafizi pada ceramah Ayuh Malaysia di Sungai Besar, Selangor.
Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata BN tidak berjaya menyelesaikan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semasa ia memerintah, sambil menambah hutang terkumpul perbadanan itu pada 2018 ialah RM40 bilion.
“Kami cuba menyelesaikan isu ini dengan memastikan mereka yang berpendapatan lebih RM4,000 perlu membayar pinjaman ini dan mereka yang pendapatan rendah tidak perlu membayarnya. Kami akan mencari cara lain untuk membayar balik pinjaman tersebut.
“Bagaimanapun, hutang terkumpul (BN) terlalu banyak. Sebab itu penting untuk mengundi kerajaan yang boleh mengukuhkan ekonomi,” katanya.
Rafizi bagaimanapun berkata PH akan mempunyai tugas yang sukar dalam menyelesaikan isu-isu dalam negara jika memenangi pilihan raya.
“Apabila PH menang pada 2018, harga minyak perlu distabilkan kerana subsidi diperlukan untuk memastikan ketua pegawai eksekutif (CEO) tidak mendapat wang tambahan ke dalam poket mereka.
“Najib (bekas perdana menteri Najib Razak) fikir adalah bijak untuk memotong subsidi ketika itu, tetapi lihatlah keadaan sekarang.
“Kerajaan Muhyiddin Yassin dan Ismail tidak berani memotong subsidi kerana mereka tahu ia adalah satu kesilapan,” katanya. – 25 Oktober, 2022.