Iklan

Anwar mahu PAS berhenti fitnah pembangkang

Alfian Z.M. Tahir2 years ago26th Oct 2022Berita
Anwar melaka fb
Anwar Ibrahim berucap di acara Pakatan Harapan yang berlangsung di Melaka, malam tadi. – Gambar Facebook, 26 Oktober, 2022.
Iklan

ANWAR Ibrahim mengecam PAS kerana berterusan memfitnah parti pembangkang terutamanya DAP.

Penyandang ahli Parlimen Port Dickson itu mengkritik Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana banyak membuat kenyataan berunsur fitnah termasuk kepadanya dengan menuduh beliau menjadi ahli Freemason.

“Apabila anda tidak bersetuju dengan DAP, DAP itu komunis. Semasa DAP menjadi rakan kongsi anda (dalam Pakatan Rakyat), anda peluk DAP, kemudian anda membelakangi DAP, berkawan dengan Bersatu dan Umno, DAP menjadi komunis.”

“Adegan politik kita kini menjadi tempat mengutuk dan memfitnah. Saya dituduh menjadi ejen untuk Yahudi, Israel dan Freemason.”

“Yang menuduh saya perkara karut ini ialah kawan saya, Abdul Hadi Awang, malah beliau menulis surat kepada Gerakan Islam Sedunia memberitahu semua ulama Islam yang saya pro Amerika dan sekular.

“Kami berkawan selama bertahun-tahun, tidak pernah sekalipun beliau bertanya kepada saya sama ada saya bersama Freemason. Beliau membuat fitnah ini,” kata Anwar pada majlis Pakatan Harapan (PH) di Melaka, malam tadi.

Anwar kemudian berkata malah arwah Yusuf al-Qaradawi, seorang ulama terkemuka dunia Islam kontemporari, terkejut dengan tindakan Hadi itu.

“Saya menjelaskan perkara ini setahun lalu tetapi sehingga hari ini, beliau tidak pernah berkata apa-apa untuk mengubah kesilapannya.”

“Arwah Yusuf al-Qaradawi menelefon saya dan bertanya mengapa Hadi melakukan semua ini (fitnah),” dedah Anwar.

Pada 2020, Hadi menulis surat kepada ulama Islam yang Anwar adalah pemimpin dalam Gerakan Freemason.

Surat Hadi, bertarikh 22 Mac yang didakwa tidak mengandungi kebenaran, dihantar ke beberapa negara di Timur Tengah dan kumpulan Islam utama yang mewajarkan peranan partinya dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah di Putrajaya pada 24 Februari.

Surat pelantikan Hadi sebagai utusan khas ke Timur Tengah bertarikh 22 Mac dan Putrajaya mengumumkan pelantikannya pada 3 April.

Surat itu menggambarkan PH dikawal oleh komunis, Kristian dan kuasa asing, seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Zionis.

Ceramah PH malam tadi diadakan di Alor Gajah dan turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu, bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari dan Setiausaha Agung Muda Amir Abdul Hadi.

Ismail Sabri tidak jalankan tugas

Sementara itu, Anwar turut mengkritik Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selepas naib presiden Umno itu enggan menerima cabarannya untuk berdebat secara terbuka.

Anwar menolak alasan Ismail Sabri menolak tawaran itu, memberitahu sebagai ahli Parlimen, tugas mereka adalah untuk berdebat mengenai dasar.

“Apa yang kita sebagai ahli Parlimen, buat di Dewan Rakyat? Kita berdebat. Kita mengajar anak-anak di sekolah untuk berdebat. Dari situ, mereka menjadi pemikir kritis.”

“Namun, PM Ismail Sabri berkata ia bukan budaya kita. Kamu tinggal di zaman apa, Ismail?” presiden PKR itu menempelak.

Semalam, Ismail Sabri menolak tawaran Anwar untuk bersemuka di televisyen dengan berkata Anwar hanya akan menggunakan peluang itu untuk manifestonya dan membuat janji “bulan dan bintang”.

Menurut Ismail Sabri, bukan budaya Malaysia untuk melibatkan diri dalam acara sebegitu, sambil menambah ia tidak mendatangkan faedah.

“Bukan budaya kita, dia tak datang apa-apa hasil. Kalau bagi debat, dia akan sebut janji dia bulan bintang akan sebut, jadi tak perlu,” katanya semasa sidang media di Bukit Aman.

Perdana menteri yakin Barisan Nasional (BN) akan menang kerana ia mendapat kepercayaan orang ramai, sambil menambah perdebatan seperti ini tidak perlu kerana calon BN terlalu sibuk berkempen.

Hari penamaan calon untuk pilihan raya umum ialah pada 5 November dan tarikh mengundi pada 19 November. – 26 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan