Calon Warisan tidak gentar tanding Parlimen Batu
Iklan
NATHAN Pillai, calon parti Warisan yang akan bertanding di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menyedari cabaran yang bakal dihadapinya untuk merampas kerusi yang disandang P Prabakaran dari PKR.
Sebagai calon muka baharu, Nathan sedia maklum beliau harus bersaing dengan calon yang lebih berpengalaman apatah lagi pengaruh partinya yang berpangkalan di Sabah belum cukup meluas di Semenanjung.
Namun akauntan bertauliah yang juga ahli perniagaan itu percaya beliau mampu untuk memenangi hati pengundi di kawasan parlimen Batu di Kuala Lumpur.
“Saya sedia menyahut cabaran. Saya akan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Apa sahaja keputusannya nanti saya akan terima dengan terbuka.
“Jika naratif kami berjaya menarik minat dan minda rakyat, maka kami mempunyai peluang yang baik, sama seperti orang lain. Siapa kalah, siapa menang, keputusannya di tangan pengundi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Parlimen Batu merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, tetapi pada PRU14 penyandangnya ketika itu Tian Chua hilang kelayakan untuk bertanding kerana dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina seorang anggota polis. Kerusi Batu dimenangi Prabakaran yang bertanding atas tiket Bebas dengan sokongan Pakatan Harapan (PH).
Prabakaran kemudian menyertai PKR selepas PRU14.
Tian Chua sebelum ini dilaporkan berhasrat untuk bertanding di Batu pada PRU15. Kini, hangat dalam PKR berkenaan siapa yang harus bertanding di Batu, sama ada Prabakaran atau Tian Chua.
Perebutan kerusi itu dijangka sengit melibatkan banyak parti. Kerusi itu turut diintai peguam dan aktivis Siti Kassim dan pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, atau lebih dikenali Cleopatra, calon dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) juga dijangka akan bertanding.
Pada PRU14, Prabakaran yang merupakan calon termuda berusia 22 tahun ketika itu menang dengan majoriti 24,438 undi, menewaskan calon BN Dominic Lau Hoe Chai, Azhar Yahya dari PAS dan seorang lagi calon Bebas, V M Panjamothy.
Parlimen Batu dianggarkan memiliki 112,000 pengundi selepas diambil kira pengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.
Berbalik kepada calon Warisan, Nathan, 54, berkata beliau sebenarnya meminati politik sejak sekian lama, tetapi baru kini menemui platform yang betul selepas Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung.
“Apabila Warisan masuk Semenanjung pada Disember tahun lepas, saya dapati parti ini serasi dengan aspirasi saya.
“Dengan kualiti ahli-ahli Parlimen yang kita sendiri lihat, kemudian Langkah Sheraton, pada saya sudah sampai masanya untuk kita lakukan sesuatu untuk negara,” ujarnya.
Nathan berkata beliau menyertai Warisan kerana parti itu berbilang kaum.
“Saya begitu tertarik dengan nilai-nilai Sabah seperti bersatu padu dan harmoni.
“Sudah sampai masanya kita menghentikan semua perkara yang memecahbelahkan masyarakat. Kita perlu bergerak ke depan sebagai satu negara, dan saya percaya Warisan adalah platform yang terbaik untuk mencapainya,” katanya.
Berkenaan Warisan bertanding di Batu, Nathan berkata jika Umno dan DAP yang berpangkalan di Semenanjung boleh bertanding di Sabah, maka tiada apa yang dapat menghalang parti dari Sabah yang memahami masalah rakyat melebarkan sayapnya di sini.
“Warisan bukan hanya untuk Sabah tetapi platform yang datang ke Semenanjung untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Cabarannya ialah bagaimana untuk membuatkan rakyat mengenali kami, parti yang masih baru di Semenanjung.
“Tugas kami ialah untuk memperlihatkan apa yang kami boleh lakukan dan biarkan rakyat membuat keputusan. Kalau saya boleh urus 450 pekerja (dalam syarikat), saya pasti saya boleh uruskan seluruh Batu. Saya yakin dengan pengalaman yang saya ada,” tegas Nathan.
Tingkat ekonomi tempatan
Nathan yang berasal dari Johor dan menetap di Batu sejak 15 tahun lalu berkata, tidak mungkin sehingga 12 calon mahu bertanding di kawasan itu jika Prabakaran melakukan tugasnya sebagai ahli Parlimen dengan baik.
“Pertandingan banyak penjuru sudah pastinya sengit dan tidak mudah. Saya lebih suka jika pertandingan satu lawan satu, atau dua, tiga penjuru kerana lebih mudah untuk sampaikan mesej kepada pengundi.”
Nathan berkata beliau mahu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik ramai pelabur.
“Ada banyak isu perlu ditangani di sini, terutamanya masalah yang dihadapi penduduk flat kos rendah.
“Ada lebih daripada satu keluarga tinggal dalam rumah berkeluasan cuma 600 kaki persegi hingga 800 persegi, yang sudah pasti akan membawa kepada masalah kesihatan dan mental.
“Begitu juga masalah sampah dan kesesakan lalu lintas yang dialami penduduk sejak sekian lama,” jelasnya.
Tambahnya, perkara pertama yang akan beliau lakukan jika menang pada PRU15 nanti ialah memastikan semua penduduk mempunyai wang untuk menyara keluarga.
“Ini boleh dilakukan dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Saya fikir, penduduk di sini kurang pengalaman dan kreativiti.
“Apabila lebih ramai yang bekerja, ini akan memberi kesan berganda kepada ekonomi tempatan.
“Jadi, apa yang harus dilakukan ialah mempermudahkan perniagaan di Batu, dan ini akan jadi keutamaan kami. Isu-isu ini perlu diketengahkan di media sosial, kemudian libatkan pihak berkepentingan dan seterusnya pihak berkuasa,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, manakala penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November. – 27 Oktober, 2022.