Dakwaan Badan Peguam tidak berasas, kata Wan Junaidi
Iklan
MENTERI undang-undang sementara Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegur Badan Peguam Malaysia kerana mempersoalkan kesaksamaan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang menyiasat dakwaan Tommy Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.
Katanya, tuduhan mereka terhadap PPK tidak berasas dan tidak tepat.
Wan Junaidi berkata PPK menjemput Badan Peguam untuk mengambil bahagian dalam sesi rundingan itu bagi memastikan pandangan semua pihak diambil kira dalam menyediakan laporan itu.
Beliau berkata, Badan Peguam Malaysia bagaimanapun menolak pelawaan untuk sesi rundingan dengan PPK.
“Oleh itu, memberikan persepsi negatif terhadap kesaksamaan ahli PPK adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah mempersoalkan kesaksamaan PPK yang menyiasat dakwaan dalam buku Thomas.
Beliau berkata perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mengakui menyahklasifikasi laporan itu supaya ia boleh digunakan sebagai “peluru” politik untuk menyerang pembangkang.
“Pengakuan terang-terangan itu, jika benar, menimbulkan persoalan tentang niat baik dalam penubuhan pasukan petugas khas dan sama ada laporan itu tidak memihak dan boleh dipercayai,” kata Cheah.
Wan Junaidi berkata Badan Peguam Malaysia sepatutnya tampil dan memberikan pandangan mereka mengenai pelbagai dakwaan yang dikenal pasti oleh PPK.
“Untuk menolak penyertaan dan kemudian mempersoalkan kesaksamaan PPK dan ahli-ahlinya tidak sepatutnya menjadi cara Badan Peguam untuk menangani isu seperti ini.
“Saya perlu menegaskan metodologi yang digunakan, isu yang dianalisis, pihak berkepentingan yang terlibat dalam sesi rundingan serta mereka yang enggan menyertai semuanya disenaraikan dalam laporan itu.
“Ini jelas menunjukkan PPK menjalankan tugas dengan cara yang bertanggungjawab, telus dan tidak berat sebelah.”
Beliau berkata PPK juga mengemukakan cadangannya untuk penambahbaikan dalam pelbagai bidang seperti kehakiman dan sistem perundangan bagi pertimbangan kerajaan selanjutnya.
PPK ditubuhkan oleh Kabinet pada 22 Disember untuk mencari fakta dan menganalisis maklumat mengenai dakwaan yang dinyatakan oleh Thomas dalam bukunya.
Penemuan itu kemudiannya dilaporkan kepada Kabinet pada 30 September.
Wan Junaidi berkata anggota PPK menjalankan mandat yang diamanahkan dengan penuh komitmen, tanggungjawab dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan.
“Semua penemuan yang diperoleh adalah berdasarkan 19 rundingan yang dijalankan oleh PPK di kalangan pelbagai pihak berkepentingan.
“PPK juga meneliti pelbagai dokumen yang disediakan oleh agensi berkaitan,” katanya. – 27 Oktober, 2022.