Iklan

Bukan jalan mudah, namun Pakatan akan menang Titiwangsa, kata Khalid 

Noel Achariam2 years ago28th Oct 2022Berita
Iklan

PENGARAH Komunikasi Amanah Khalid Samad berharap rakyat dari kawasan Parlimen Titiwangsa melihat beliau sebagai calon yang jujur, namun mengakui bukan mudah untuk beliau memenangi kerusi itu sekiranya berlaku pertembungan berbilang penjuru.

Ini katanya, adalah penting kerana pengundi mempertimbangkan pilihan calon mereka pada pilihan raya umum akan datang.

“Pertandingan berbilang penjuru pastinya akan menjadi lebih mencabar.

“Selepas menghantui kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, rakyat harus sedar Pakatan Harapan lebih komited dalam mentadbir negara dengan cara yang lebih bertanggungjawab,” kata Khalid, yang akan bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa, kepada The Malaysian Insight.

Penyandang kerusi Parlimen Shah Alam itu akan berpindah ke kawasan Titiwangsa berkata, terpulang kepada rakyat untuk melihat kekuatan siapa yang terbaik untuk Titiwangsa.

Beliau berkata mereka menjangkakan pertandingan tiga penjuru untuk Titiwangsa dengan BN, PN dan PH menunjukkan minat. Bagaimanapun, penyertaan Gerakan Tanah Air, akan merumitkan keadaan.

“Dalam PRU14 ada pertembungan tiga penjuru. Kalau sekarang kita ada pertembungan tiga penjuru ada peluang lebih baik (untuk menang).

“Bukan mudah untuk menang besar, tetapi walaupun kita menang dengan satu undi, kita tetap menang. Jadi, kita harap rakyat mempunyai aspirasi yang sama untuk melihat kerajaan yang bersih.”

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata rakyat harus sedar Pakatan Harapan lebih komited dalam mentadbir negara dengan cara yang lebih bertanggungjawab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2022.

Pengarah pilihan raya Amanah Asmuni Awi mengesahkan pencalonan Khalid untuk kerusi itu.

Beliau berkata walaupun bukan keputusan mudah untuk Khalid meninggalkan Shah Alam memandangkan rekod prestasinya, ia adalah keputusan yang perlu untuk PH membuktikan daya saingnya pada PRU15.

Khalid memegang kerusi Shah Alam selama tiga penggal.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Johari Ghani dilaporkan turut berhasrat untuk bertanding di Titiwangsa.

Johari menyifatkan kawasan itu sebagai tempat yang dekat di hatinya kerana dilahirkan di Titiwangsa dan bersekolah di kawasan itu.

Bekas menteri kewangan kedua itu berkata beliau mahu terus berkhidmat kepada masyarakat setempat termasuk membangunkan semula Kampung Baru. Johari berkata, dia telah ditawarkan banyak kerusi tetapi masih mahukan Titiwangsa.

Beliau tidak melihat kekalahannya kepada pemimpin Wanita Bersatu Rina Harun pada 2018 sebagai kekalahan mutlak, dengan berkata beliau hanya menang dengan majoriti 4,139 undi.

Khalid berkata beliau berpegang pada prinsip dan mahu melihat apa yang terbaik untuk semua orang di Titiwangsa.

“Saya adalah bekas menteri Wilayah Persekutuan dan telah berinteraksi dengan ramai orang di sini. Kami percaya kami akan menang di sini,” tambahnya.– 28 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan