Iklan

Hentikan kleptokrat dan pencuri, kata Khalid Samad

Noel Achariam2 years ago28th Oct 2022Berita
Khalid samad tmi 10
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata negara ini tidak boleh terus ditadbir golongan kleptokrat dan pencuri selepas PRU15. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Oktober, 2022.
Iklan

NASIB negara ini terletak di tangan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika mereka mahu hapuskan kleptokrat buat selamanya, kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

Penyandang ahli Parlimen Shah Alam itu berkata walau apa pun berlaku, rakyat perlu keluar mengundi, kerana ia akan memberi kesan kepada negara.

“Jika kita mahukan perubahan, kita perlu berusaha untuknya. Jika tidak, keadaan akan sama saja (seperti kerajaan sebelum ini). Kita perlu pilih kerajaan yang tepat.

“Nasib negara ini terletak pada rakyat, jika tidak negara ini akan ditadbir oleh kleptokrat dan pencuri. Kita perlu hentikan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Khalid yang akan bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa berkata amat penting untuk kita menghalang golongan kleptokrat daripada kembali mentadbir negara.

“Kita perlu tarik pengundi. Kita perlu buat yang terbaik untuk mendapatkan undi dan kita akan berjuang.

“Sama ada kita sedia atau tidak, itu bukan persoalannya…pilihan raya umum sudah pun tiba di sini.”

Ini kerana Barisan Nasional (BN) sudah pun memilih tarikh untuk PRU15, katanya.

“Keadaan sekarang tidak bagus. Kita tidak pernah jangka mereka (BN) akan buat, tetapi kami tahu (penyandang Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob) diberi tekanan.

“Kami tahu Zahid (Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi) yang membuat keputusan. Kami pada masa ini bersedia dan akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan mandat rakyat.”

Penyandang ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata walau apa pun berlaku, rakyat perlu keluar mengundi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Oktober, 2022.

Berkenaan pengundi yang tidak dapat keluar mengundi kerana musim hujan, Khalid sekali lagi berkata BN sudah pun menetapkan tarikh untuk PRU15.

“Rakyat tidak akan keluar mengundi jika banjir. Itulah niat mereka. Mereka mahu elak 80% pengundi keluar mengundi.

“Rakyat perlu memilih kerajaan yang mereka mahu. Jika kami menang, kami akan berkhidmat untuk rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang dan membersihkan pentadbiran ini.

“Kami diberikan mandat pada 2018 tetapi tidak dapat memenuhi matlamat kami. Jadi kali ini kami ingin melengkapkan apa yang kami mulakan (membersihkan kerajaan),” katanya.

Khalid berkata sebab mereka tidak membubarkan tiga dewan undangan negeri di bawah pentadbiran PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang ialah kerana berjaga-jaga kemungkinan rakyat memerlukan bantian sepanjang musim hujan.

Ini bagi membolehkan kerajaan negeri mempunyai sumber tenaga dan kemudahan untuk membantu rakyat jika banjir berlaku.

Malaysia akan mengundi pada 19 November. Mengundi awal ditetapkan pada 15 November.

Hari penamaan calon pada 5 November. – 28 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan