Iklan

Ayah mangsa maut ditimpa kerusi gesa polis percepatkan siasatan

Asila Jalil7 years ago3rd Mar 2018Berita
Sri pantai flat tminazirsufari 10
Ayah Sathiswaran, K. Sathiasilan berkata sudah dua minggu berlalu sejak kejadian tragis itu berlaku namun sehingga kini tiada perkembangan daripada polis berhubung kes berkenaan.–Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mac, 2018.
Iklan

POLIS perlu mempercepatkan siasatannya ke atas kematian kanak-kanak berusia 15 tahun S. Sathiswaran yang maut selepas ditimpa kerusi yang dicampak dari tingkat 21 pangsapuri kos rendah.

Ayah Sathiswaran, K. Sathiasilan berkata sudah dua minggu berlalu sejak kejadian tragis itu berlaku namun sehingga kini tiada perkembangan daripada polis berhubung kes berkenaan.

“Saya terpaksa pergi ke balai polis Pantai dan bertanya kepada mereka mengenai perkembangan kes berkenaan malah hari ini saya ada whatsapp mereka bertanyakan mengenai kes itu,” katanya kepada The Malaysian Insight semasa melancarkan dana biasasiwa S. Sathiswaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai.

Sathiasilan menyifatkan biasiswa berkenaan sebagai inisiatif yang baik oleh PKR dan berharap siasatan ke atas kematian anaknya dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Nurul Izzah dan Fahmi (Fadzhil) ada datang melawat sejak tragedi itu berlaku dan saya sangat bersyukur,” katanya.

Katanya, sikap penduduk di situ masih tidak berubah selepas kejadian berkenaan, mereka masih membuang sampah dari tingkat atas pangsapuri kos rendah itu.

“Tidak ada apa yang berubah. Ada yang lemparkan botol kaca dari tingkat atas tempoh hari. Mujurlah tidak ada yang cedera,” tambahnya.

Sementara itu, Fahmi yang juga pengarah komunikasi PKR berkata dana biasiswa itu adalah projek sumbangan orang ramai yang menyasarkan sumbangan sebanyak RM100,000 bagi membantu kanak-kanak di kawasan PPR untuk mendapat pendidikan yang lebih baik.

“Dengan biasiswa tersebut, kami dapat membantu kanak-kanak yang tinggal di PPR. Kami mulakanya di Lembah Pantai dan ia akan diperluaskan di kawasan lain seiring dengan peningkatan sumbangan,” katanya.

Fahmi berkata lebih RM1,000 telah berjaya dikumpul sejak laman web itu dilancarkan pada malam semalam.

“Rakyat Malaysia tahu mengenai tragedi ini. Jadi mereka guna konsep sumbangan orang ramai dari seluruh negara untuk mengutip dana.

“Ini akan membantu kanak-kanak di PPR untuk melanjutkan pengajian mereka,” katanya.

Pada kejadian 15 Januari lepas, Sathiswaran berada di tingkat bawah PPR Seri Pantai di Pantai Dalam bersama ibunya sebelum ditimpa kerusi yang dicampak dari tingkat 21 pangsapuri tersebut.

Ketika kejadian, mangsa bersama ibunya sedang berjalan hendak balik ke unit kediaman mereka di tingkat 16 di Blok 102 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam.

Pelajar SMK La Salle, Brickfields itu terbunuh serta merta akibat kecederaan pada kepala. – 3 Mac, 2018.

Iklan
Iklan