Iklan

1.94 juta pengundi di Sarawak pada PRU akan datang 

Alfian Z.M. Tahir2 years ago29th Oct 2022Berita
Sarawak
Jumlah pengundi di Sarawak mencatatkan peningkatan 59.14% untuk pilihan raya umum akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2022.
Iklan

TERDAPAT peningkatan 59.14 peratus dalam bilangan pengundi di Sarawak untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 1.94 juta pengundi berdaftar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata ini adalah peningkatan yang besar jika dibandingkan dengan 1.22 juta pengundi yang dicatatkan pada PRU sebelum ini.

“Daripada jumlah itu 825,791 orang merupakan pengundi berumur 21 hingga 39 tahun yang merupakan kategori terbesar manakala jumlah pengundi berumur 18 hingga 20 tahun ialah 129,034,” katanya dalam satu kenyataan.

“975,618 atau 50.21% pengundi lelaki manakala 967,456 (49.79%) adalah pengundi wanita.”

Wan Junaidi berkata, seramai 38,148 pegawai akan bertugas sepanjang pilihan raya itu melibatkan 1,943 pusat mengundi termasuk 55 pusat mengundi untuk pengundian awal dengan 4,286 saluran.

“Sebanyak 1,943 pusat mengundi telah diwartakan membabitkan sekolah, rumah panjang dan beberapa premis lain yang dikenal pasti. Daripada jumlah itu, 74 pusat mengundi yang terletak di kawasan luar bandar tidak mempunyai akses kepada telekomunikasi,” katanya.

“Bagi mengatasi kelemahan itu, SPR telah mendapat kerjasama daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memastikan semua komunikasi di pusat mengundi tidak terjejas.”

Wan Junaidi berkata kerjasama dengan SKMM telah diwujudkan bagi memastikan semua pusat penamaan calon mempunyai liputan komunikasi pada hari penamaan calon.

Tambahnya, SPR mempunyai perjanjian dengan Jabatan Insolvensi dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung rekod percukaian dan status muflis calon yang bertanding.

“Pihak Jabatan Peguam Negara semasa hari penamaan calon, memberi nasihat undang-undang kepada pegawai SPR sekiranya berlaku kekeliruan dan masalah undang-undang.

“Bagi memastikan semuanya berjalan lancar, SPR Sarawak telah membuat persiapan membabitkan logistik udara, air dan darat.

“Malah, jika berlaku banjir semasa pilihan raya, SPR Sarawak mempunyai pelbagai kaedah untuk meneruskan proses demokrasi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November sebagai hari pengundian untuk pilihan raya umum 2022.

Hari penamaan calon ialah pada 5 November dan pengundian awal akan diadakan pada 15 November. – 29 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan