Muda umum tiga calon Parlimen
Iklan
IKATAN Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengumumkan tiga calon Parlimen yang akan bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) yang berpengaruh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Timbalan presidennya Amira Aisya Abdul Aziz berkata ketiga-tiga calon itu akan bertanding di kerusi luar bandar di mana penyandangnya memegang portfolio dalam Kabinet.
“Kami tidak bertanding di kerusi bandar dan kerusi ini bukan kerusi yang mudah. Muda akan menentang BN dalam pilihan raya ini,” kata Amira pada sidang media di Pejabat Parti Muda Kebangsaan di Petaling Jaya.
Amira mengumumkan jurutera dari Pulau Pinang Danial Abdul Majid, 26, akan menentang Reezal Merican Naina Merican yang merupakan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Selain itu guru, Rahayu Baharin yang mempunyai sekolah percuma sendiri di Chow Kit, Kuala Lumpur akan mencabar ahli majlis kerja tertinggi Umno Noh Omar.
Noh merupakan penyandang Parlimen Tanjung Karang di Selangor dan juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi.
Sementara itu, peguam hak asasi manusia Lim Wei Jiat akan bertanding di Tanjung Piai, kerusi yang pada mulanya dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.
Selepas pilihan raya kecil 2019, kerusi itu dimenangi oleh Wee Jeck Seng dari MCA yang kemudiannya menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pada itu, Amira berkata Muda akan mengumumkan lebih ramai calon Parlimen dalam masa terdekat.
Beliau turut mendedahkan partinya juga akan bertanding di Sabah di mana pengumuman calon akan dibuat minggu depan.
“Biarlah ia satu kejutan. Kami akan membuat pengumuman tidak lama lagi di mana kami akan bertanding. Kami dedahkan tiga dahulu malam ini tetapi akan dedahkan lebih banyak lagi tidak lama lagi.”
“Saya boleh katakan kita akan bertanding kerusi di Sabah, kerusi luar bandar dan ia bukan satu kerusi yang mudah (menang). Kita akan buat pengumuman pada Rabu di Kota Kinabalu,” katanya.
Minggu lepas dilaporkan Muda telah meminta kurang daripada 15 kerusi Parlimen pada PRU15.
Adun Puteri Wangsa di Johor itu berkata pihaknya akan bertemu semula dengan PH dalam beberapa hari akan datang untuk memuktamadkan kerusi.
Muda juga tidak meminta diberikan kerusi yang disandang PH pada pilihan raya lalu.
Pada 12 Oktober lalu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata gabungan itu akan bekerjasama dengan Muda dalam PRU15.
Bagaimanapun, tambahnya, majlis presiden PH memutuskan ia akan berbentuk pakatan pilihan raya, bukannya menerima Muda sebagai parti komponen, kerana itu memerlukan kelulusan Pendaftar Pertubuhan. – 29 Oktober, 2022.