Iklan

Syed Saddiq akan umum tanding atau tidak minggu depan

Alfian Z.M. Tahir2 years ago29th Oct 2022Berita
Muda tmi 05
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan keputusan beliau akan pertahankan kerusi Muar atau tidak pada sidang media yang akan diadakan pada Rabu ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Oktober, 2022.
Iklan

PENYANDANG Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengumumkan melalui sidang media minggu depan sama ada beliau akan mempertahankan atau melepaskan kerusinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata beliau akan membuat pengumuman pada Rabu selepas Mahkamah Tinggi pada Jumaat memerintahkan beliau membela diri atas empat pertuduhan jenayah.

“Saya akan buat pengumuman pada hari Rabu. Saya menghormati sepenuhnya keputusan Mahkamah Tinggi dan ini adalah peluang untuk saya membersihkan nama saya kerana saya diarah membela diri.

“Sama ada saya akan bertanding atau tidak, saya akan buat keputusan pada Rabu,” kata Syed Saddiq.

Semalam, majlis tertinggi Muda berkata ia akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan sama ada presidennya itu patut bertanding dalam PRU15.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Syed Saddiq berkata perkara itu akan dibawa kepada parti untuk diputuskan, namun Beliau tidak menyebut bila mesyuarat berkenaan akan dipanggil.

Beliau juga berkata ia “bergantung kepada rakyat Muar” sama ada beliau perlu mempertahankan kerusi itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum itu memerintahkan Syed Saddiq untuk membela diri atas empat pertuduhan jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM1 juta.

Bekas menteri belia dan sukan itu didakwa bersubahat dengan penolong bendahari sayap Pemuda Bersatu ketika itu Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Sebagai ketua Pemuda Bersatu ketika itu, Syed Saddiq juga diamanahkan untuk menjaga dana tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas berpendapat pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Syed Saddiq.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk Syed Saddiq membela diri bermula 22 hingga 24 Februari serta 13 dan 14 Mac dan 10 hingga 14 April 2023.

Sebaik Azhar membacakan keputusannya, Gobind Singh Deo yang mewakili Syed menyatakan anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah dan 15 saksi akan dipanggil termasuk Syed Saddiq untuk memberi keterangan. – 29 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan