Iklan

PBM akan selesaikan pertikaian presiden secara dalaman, kata Zuraida

Alfian Z.M. Tahir2 years ago30th Oct 2022Berita
Pbm pc 301022 tmiseth-02
Zuraida Kamaruddin tidak mahu pertikaian jawatan presiden dibuat spekulasi tetapi kita akan bersama-sama menyelesaikan urusan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Oktober, 2022.
Iklan

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan menyelesaikan perebutan jawatan presidennya antara Zuraida Kamaruddin dan Larry Sng secara dalaman dan baik, kata bekas presiden parti itu hari ini.

“Mengenai isu siapa presiden yang sah, ini akan dibincangkan secara dalaman.”

“Saya tidak mahu perkara itu dibuat spekulasi tetapi kita akan bersama-sama menyelesaikan urusan itu,” kata Zuraida selepas diasak media.

Zuraida dan Sng mendakwa kedua-duanya sebagai presiden PBM.

Empat hari lalu, Sng menegaskan beliau masih presiden yang sah dan menggantung jawatan setiausaha agung dan ketua penerangan parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Sng, dalam satu kenyataan di Facebooknya, berkata penggantungan setiausaha agung Nor Hizwan Ahmad dan ketua penerangan Zakaria Abdul Hamid adalah berhubung mesyuarat majlis tertinggi yang diadakan pada 7 Oktober, yang menurutnya tidak dipanggil.

Semalam, Sng menggantung keahlian Zuraida dan 12 ahli majlis tertinggi.

Ahli majlis tertinggi yang digantung ialah Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Chua Lian Chye, Roger Tan Seng Huat, dan Albakri Salim.

Sementara itu, Nor Hizwan mempertikaikan penggantungan tersebut, sambil berkata penyandang Ahli Parlimen Julau itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sedemikian kerana beliau bukan lagi presiden.

Nor Hizwan berkata Zuraida ialah presiden PBM yang sah mengikut perlembagaan parti.

Beliau berkata pelantikan Zuraida dipersetujui pada mesyuarat agung tahunan parti pada 1 Oktober dan minit mesyuarat itu dihantar kepada ROS.

Katanya, parti itu juga memutuskan Sng akan menyerahkan jawatan presiden kepada Zuraida.

Pertikaian itu, jika tidak diselesaikan segera, boleh menyebabkan Zuraida perlu bertanding atas tiket Bebas kerana hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijadual berlangsung pada 5 November ini. – 30 Oktober, 2022.

Iklan
Iklan