PRU15 : PBM akan gerak solo, kata Zuraida
Iklan
MESKI parti sedang berdepan krisis kepimpinan, kem yang dipertikaikan berkata Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan bergerak solo tanpa gabungan politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Zuraida Kamaruddin yang kini berdepan isu perebutan kepimpinan dengan Larry Sng, presiden sah berkata PBM telah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti untuk PRU15 ini.
Sebelum ini PBM memohon untuk menyertai BN.
“Kami akan gerak secara solo dan tak akan bekerja dengan mana-mana parti,” katanya pada sidang media hari ini.
Selain itu Zuraida memberitahu partinya akan menyelesaikan masalah pertikaian kepimpinan secara dalaman namun ketika ditanya lanjut soal itu, beliau enggan mengulas.
Empat hari lalu, Larry menegaskan beliau presiden parti yang sah dan menggantung keahlian Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad serta Ketua Peneranga PBM Zakaria Abdul Hamid berkuat kuasa serta merta.
Dalam kenyataan di Facebook, Larry berkata penggantungan itu berhubung mesyuarat majlis tertinggi parti pada 7 Oktober yang tidak diarahkannya.
Semalam, Larry menggantung keahlian Zuraida dan 12 ahli majlis PBM.
Dua belas individu itu ialah Haniza Mohamad Talha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Chua Lian Chye, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.
Hizwan mempertikaikan penggantungan itu dan menyatakan penyandang Parlimen Julau itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sedemikian kerana beliau bukan lagi presiden parti.
Katanya, Zuraida merupakan Presiden PBM yang sah menurut Perlembagaan parti.
Jelasnya, pelantikan Zuraida dipersetujui semasa persidangan parti pada 1 Oktober lalu dan minit mesyuarat dihantar ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Sebelumnya juga Larry didakwa telah bersetuju untuk menyerahkan jawatan tu kepada Zuraida, katanya.
Sekiranya pertikaian ini tidak diselesaikan segera, ia boleh menyebabkan Zuraida tidak mempunyai parti memandangkan hari penamaan calon bakal berlangsung 5 November ini.
Zuraida dan penyokongnya meninggalkan Bersatu untuk menyertai PBM. Sebelum ini mereka bersama PKR sebelum berpaling tadah semasa Langkah Sheraton pada Februari 2020. – 30 Oktober, 2022.