Iklan

Tak logik adakan PRU pada musim tengkujuh, kata Santiago

Alfian Z.M. Tahir2 years ago1st Nov 2022Berita
50056470013 bd2eb8e2cc b
Penyandang ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata adalah mengarut bagi sesebuah parti untuk mengadakan pilihan raya ketika musim tengkujuh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 November, 2022.
Iklan

PENGUNDI mesti menghukum Umno pada pilihan raya umum akan datang kerana mendesak pembubaran Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semasa musim tengkuju, kata penyandang ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Bercakap dalam temubual dengan pelawak Harith Iskander malam tadi pemimpin DAP itu berkata adalah mengarut bagi sesebuah parti untuk mengadakan pilihan raya apabila kemungkinan tragedi boleh berlaku.

“Di mana logiknya untuk mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh? Tidak masuk akal. Menteri dalam negeri sebelum ini berkata pasukan polis akan berdepan kekangan teruk dalam operasi banjir dan PRU pada masa sama.

“Ia akan menjadi sangat mencabar bagi rakyat biasa untuk pulang mengundi apabila mereka tahu mungkin berdepan masalah banjir dan hujan lebat.

“Tujuan pilihan raya adalah untuk memastikan ia bebas dan adil. Saya menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dan setiap pesuruhjayanya bertanyakan sama ada mereka mempunyai rancangan untuk melaksanakan pilihan raya dalam keadaan seperti banjir.

“Namun perlu ditegaskan mereka yang berpeluang mengundi mesti menghukum parti yang menggesa pilihan raya,” kata Santiago.

Santiago yang merupakan ahli Parlimen tiga penggal di Klang tidak akan bertanding dalam pilihan raya kerana DAP memutuskan untuk menggugurkannya sebagai calon.

Sementara itu Santiago mengakui suasana semasa pilihan raya tidak serancak seperti pada 2018.

“Semangat itu tidak ada. Orang sudah bosan dengan politik. Orang kata kenapa saya perlu mengundi, siapa yang harus saya undi.

“Pengundi kali pertama mungkin tidak berminat untuk mengundi dan jika mereka mengundi kemungkinan besar mereka akan mengikut ibu bapa mereka,” tambahnya.

Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada 19 November dan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

Pilihan raya umum itu melibatkan 222 kerusi parlimen, 59 kerusi DUN Perak, Pahang (42) dan Perlis (15). – 1 November, 2022.

Iklan
Iklan