Jentera BN Jempol 'lumpuh' penyandang tidak dicalonkan, menurut laporan
Iklan
JENTERA Barisan Nasional (BN) di Parlimen Jempol, Negeri Sembilan antara yang terbaharu ditutup selepas penyandangnya Mohd. Salim Mohd. Sharif dikatakan telah disingkirkan sebagai calon oleh pucuk pimpinan Umno.
Langkah itu dibuat ketika Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi bersiap sedia untuk mengumumkan barisan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pusat Dagangan Dunia pukul 8 malam ini.
Semalam, orang kuat BN Perlis dan penyandang Parlimen Arau Shahidan Kassim memberi bayangan beliau telah digugurkan daripada bertanding atas tiket Umno.
“Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan. Kali pertama dalam sejarah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Shahidan tidak menyatakan secara jelas beliau digugurkan tetapi sepanjang semalam tersebar desas desus yang Ahmad Zahid sedang mengugurkan individu yang dianggap tidak sehaluan dengan presiden Umno itu sebagai calon PRU15.
Antara yang disebut-sebut bakal digugurkan adalah Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Noh Omar, penyandang Parlimen Pasir SalakTajuddin Abdul Rahman, Adham Baba (Parlimen Tenggara) dan Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).
Terdahulu hari ini, bekas ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa turut mengesahkan beliau tidak dijemput ke majlis pengumuman calon BN malam ini, sekali gus mengukuhkan spekulasi beliau tidak dicalonkan oleh parti bertanding pada PRU15 kali ini.
Dalam pada itu 40 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Jempol dikatakan “lumpuh” selepas ditutup sejak malam tadi.
Setiausaha Umno Bahagian Jempol Muhamad Zamri Omar mendakwa ia adalah keputusan pucuk pimpinan BN memilih individu lain.
“Kami akan menutup pusat operasi kami di semua cawangan tersebut kerana kami tidak boleh menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.
“Kami ada masa mendesak, kami berusaha ke arah itu lebih-lebih lagi Mohd Salim sememangnya sudah terbukti memberikan khidmat terbaik sepanjang satu penggal di bahagian ini.
“Kami bimbang, Parlimen Jempol ini yang sebelumnya merupakan kawasan putih bertukar menjadi kawasan kelabu, semua nak tutup bilik gerakan. Ini bukan ancaman, bukan bantahan, tapi kami mahu Ketua Umno Bahagian Jempol kekal menjadi calon Parlimen ini,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Pada PRU14, Mohd Salim menang kerusi Jempol dengan majoriti 1,631 undi selepas memperoleh 26,819 undi, menewaskan dua pencabar iaitu calon PKR Kamarulzaman Kamdias yang memperoleh 25,188 undi dan calon PAS Mustaffa Daharun dengan 5,267 undi.
Beliau berkata parti itu mempunyai sistem pemilihan calon yang tersendiri dan oleh itu semua pihak tidak harus membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan perkara itu kepada parti khususnya pucuk pimpinan untuk menentukan dan memilih siapa yang difikirkan parti itu patut mewakili parti.
Malaysia akan mengundi pada 19 November. Pengundian awal pada 15 November. Hari penamaan calon pada 5 November. – 1 November, 2022.