Iklan

Khairuddin tak gentar bertembung calon 'heavyweight' di Titiwangsa

Noel Achariam2 years ago3rd Nov 2022Berita
Khairuddin november 01, 2022 tmi afif 01
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan tidak gentar dengan kehadiran calon 'heavyweight' seperti Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad dan Johari Abdul Ghani dari Umno bertanding di kerusi Titiwangsa pada PRU15 nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 November, 2022.
Iklan

CALON Pejuang Khairuddin Abu Hassan tidak gentar dengan kehadiran calon-calon ‘heavyweight’ yang akan bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tiada masalah untuk bertembung dengan nama-nama besar seperti Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Johari Abdul Ghani, katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini.

“Saya tidak nafikan mereka Khalid dan Johari adalah nama-nama besar. Saya bertanding di Titiwangsa sebagai calon ‘underdog’, tetapi berikrar akan berusaha sedaya upaya saya untuk memenangi kerusi tersebut.

“Saya tak gentar kerana sudah hampir dua berada di Titiwangsa, bukan baru muncul sekarang (PRU15),” ujar ketua Pejuang Wilayah Persekutuan itu.

Minggu lepas, penyandang kerusi Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mengesahkan beliau akan bertanding di Parlimen Titiwangsa. Barisan Nasional (BN) kelmarin umum Johari Abdul Ghani juga bertanding di situ.

Kerusi Titiwangsa dimenangi Rina Harun pada PRU14, ketika itu atas tiket Pakatan Harapan (PH), menewaskan Johari dan calon PAS Mohamad Noor Mohamad.

Mengulas lanjut penyertaannya di Titiwangsa, Khairuddin berkata penduduk di kawasan itu dibelenggu banyak masalah.

“Bekas pemimpin Umno (di Titiwangsa) gagal menyelesaikan isu seperti pembangunan semula Kampung Baru, masalah perparitan, banjir, peniaga kecil, miskin bandar dan lain-lain lagi.

“Antara yang kami usahakan ialah memberi bantuan kepada penduduk berkenaan pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

“Semasa kami cuba bantu penduduk, kami tak nampak ‘nama-nama besar’ ini, tak pernah nampak mereka ada bersama penduduk Kampung Baru.

“Tetapi Pejuang konsisten untuk mempertahan dan membantu penduduk di sini,” jelas Khairuddin.

Menurutnya lagi, Pejuang Wilayah Persekutuan juga telah turun padang di 12 kawasan pilihan raya untuk meninjau masalah penduduk.

“Kami turun padang untuk menyantuni rakyat, terutamanya semasa pandemik Covid-19 dan banjir.

“Dalam landskap politik negara sekarang ini sukar untuk jangka (siapa menang),” katanya.

Namun Khairuddin yakin rakyat kini bijak dalam menilai dan seterusnya memilih parti yang akan memperjuangkan nasib mereka.

Semalam, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad yang akan bertanding mempertahankan Parlimen Langkawi berkata Gerakan Tanah Air (GTA) akan bertanding di lebih 120 kerusi Parlimen pada PRU15 nanti.

GTA dianggotai  Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Kesemua calon GTA akan menggunakan logo Pejuang dalam PRU15, kecuali sembilan kerusi Parlimen di Kelantan yang mana calon mereka akan menggunakan lambang Putra. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRU15 diadakan pada 19 November ini, dengan 5 November sebagai hari penamaan manakala pengundian awal pada 15 November. – 3 November, 2022.   

Iklan
Iklan