Umno akan bertahan dalam PRU15 walau ada konflik dalaman, kata pemerhati
Iklan
PERGOLAKAN dalaman Umno berikutan penamaan calon Parlimen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanyalah isu kecil, kata pemerhati.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka berpendapat akan ada tindak balas yang kecil daripada ahli akar umbi malah ia tidak akan merosakkan sangat parti itu menjelang PRU15.
Pada malam Selasa Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menggugurkan beberapa ahli Parlimen Umno veteran sebagai calon pilihan raya.
Antaranya ialah Shahidan Kassim, Annuar Musa, Zahidi Zainul Abidin, Adham Baba dan Tajuddin Abdul Rahman.
Berikutan itu, terdapat kes pusat khidmat Umno/BN di kawasan terjejas ditutup.
Ada juga beberapa Umno bahagian membantah calon payung terjun diletakkan di kawasan mereka, menyebabkan kebimbangan akan berlaku sabotaj dalaman.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata “reaksi marah” daripada ahli Umno hanya terhad kepada sebilangan tempat sahaja.
Beliau menyifatkan ia sebagai tindak balas berskala kecil kepada Ahmad Zahid dan tidak akan memberi kesan kepada Umno secara keseluruhan.
“Ada kesan tetapi kesannya hanya di kawasan yang terjejas seperti di Arau atau Kangar, bukan keseluruhan Umno.
“Tetapi betapa teruknya ia, itu bergantung kepada cara pemimpin tertinggi Umno tangani perkara itu. Mereka tahu apa yang perlu dibuat sebab Umno ini parti lama. Tindak balas seperti ini adalah perkara biasa dan ini bukan kali pertama,” kata Mazlan.
Tambahnya, Ahmad Zahid bertindak dengan cara yang betul apabila menggantikan ahli Parlimen yang tidak sehaluan dengan presiden.
Beliau berkata Umno masih boleh menang kerusi di tempat penyandang yang diganti kerana ahli Umno tetap akan mengundi parti itu tanpa mengira calon.
“Jika penyandang yang diganti masuk pilihan raya sebagai calon bebas, mereka tidak akan menang, menyertai pilihan raya dengan parti lain juga bukan jaminan untuk mereka menang kerana ahli atau penyokong Umno tidak akan mengundi calon, mereka undi parti.
“Zahid buat perkara yang betul sebab beliau mahu Umno nampak mantap dan dipimpin oleh hanya seorang,” katanya.
Prof Dr Awang Azman Awang Pawi pula berkata konflik dalaman Umno boleh diselesaikan sebelum hari penamaan calon.
Beliau mencerminkan sentimen Mazlan yang konflik itu tidak seteruk seperti dilihat.
“Semuanya akan baik sebelum hari penamaan calon. Ahli parti yang tidak berpuas hati akan kembali ke parti dan akan ada yang akan dipecat atau dikenakan tindakan.
“Hal ini tidak sebesar yang disangka. Bukan 100 peratus ahli Umno tidak bersetuju dengan Zahid. Cuma 10 peratus daripada mereka tidak berpuas hati dengan keputusan calon. Kesannya kecil buat Umno,” kata ahli akademik itu.
Sependapat dengan Mazlan dan Awang Azman ialah Dr Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.
Beliau berkata perbalahan antara pemimpin tertinggi Umno tidak dapat menyusahkan parti sepenuhnya kerana Umno masih dilihat sebagai benteng terakhir ketuanan Melayu.
“Mereka yang tidak berpuas hati ini cuma akan jejaskan sedikit undi Umno, tetapi mungkin tidak cukup untuk mempengaruhi peluang kemenangan.
“Ini kerana nama Umno itu sendiri, tanpa mengira calonnya, sebagai pembela ketuanan Melayu tidak dapat ditandingi kecuali mungkin di negeri pantai timur yang ekstremisme agama memainkan peranan yang lebih penting,” tambahnya. – 3 November, 2022.