Shahidan tanding Parlimen Arau, umum Abdul Hadi

Iklan
PRESIDEN PAS malam ini mengumumkan dua penyandang Parlimen Umno akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Abdul Hadi Awang mengumumkan Shahidan Kassim dan Ismail Abdul Mutalib masing-masing akan pertahankan kerusi Parlimen Arau di Perlis dan Maran di Pahang.
Shahidan yang juga menteri Wilayah Persekutuan turut hadir membuat kejutan ketika majlis pengumuman di Masjid Rusila, Marang malam ini.
Abdul Hadi bagaimanapun tidak menjelaskan kedua-dua mereka akan bertanding di bawah parti komponen yang mana satu.
Petang tadi, Shahidan menjelaskan yang beliau akan pertahankan kerusi yang disandang sejak 1986 itu.
Katanya beliau bukan hanya mahu orang Bersatu dan PAS menyokongnya malah meminta orang Umno turut sama memberikan sokongan kepada gagasan Muafakat Nasional.
“Saya ingin menjadi model kepada Muafakat Nasional dan orang Umno kena sokong saya sebab semua gerakan (jentera BN Arau) yang dibuat sebelum ini, saya yang atur daripada A ke Z… namun tiba-tiba mereka tolak saya dan letak calon yang bukan dicadangkan oleh Jawatankuasa Bahagian,” katanya kepada pemberita di Kangar.
Dalam pada itu Pengerusi PN Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengumumkan senarai calon Parlimen negeri.
PN Terengganu mengekalkan kebanyakan penyandang dan cuma menampilkan seorang muka baharu Alias Razak yang juga merupakan exco Terengganu untuk bertanding di Parlimen Kuala Nerus.
Samsuri turut mengumumkan Abdul Hadi kekal pertahankan kubu kuatnya di Marang.
Antara calon penyandang ialah Che Alias Hamid (Kemaman), Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun), Shaharizukirnain Abdul Kadir (Setiu) dan Ahmad Amzad Hashim (Kuala Terengganu).
Calon tunggal Bersatu negeri, Rosol Wahid juga akan mempertahankan kerusi Hulu Terengganu.
Bagi kerusi Parlimen Besut, PN meletakkan semula Che Muhamad Zulkifly Jusoh yang kalah kepada Idris Jusoh pada PRU14. – 3 November, 2022.