Iklan

Kerajaan baharu digesa mansuh Akta Hasutan, tangani kemiskinan

Alfian Z.M. Tahir2 years ago4th Nov 2022Berita
Forum 031122 tmiseth 13
Sivarasa Rasiah dan Maria Chin Abdullah menggesa kerajaan baharu mansuhkan Akta Hasutan dan tangani isu kemiskinan semasa forum di Petaling Jaya, Selangor, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 November, 2022.
Iklan

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) bekerja keras untuk memansuhkan Akta Hasutan sepanjang tempoh 22 bulan memerintah tetapi kerajaan tumbang bersama usaha untuk menghapuskan undang-undang zalim itu, kata penyandang ahli Parlimen Sivarasa Rasiah.

Veteran PKR itu berkata usaha berkenaan boleh direalisasikan jika bukan kerana Langkah Sheraton dan penentangan pihak istana yang mahukan perlindungan daripada kritikan orang ramai.

Penyandang ahli Parlimen Sungai Buloh itu bercakap pada majlis anjuran Gerak Budaya malam tadi mengenai dasar yang perlu dilaksanakan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Sesetengah perubahan institusi tidak berlaku kerana penentangan daripada sistem. Contohnya, Akta Hasutan. Kami berusaha sepenuhnya untuk memansuhkan undang-undang dan pindaan mudah.

“Untuk menghapuskan Akta Hasutan dan menambah klausa mengenai hasutan agama dan kaum di bawah Kanun Keseksaan. Tetapi kemudian penentangan datang daripada monarki mahukan perlindungan bagi komen terhadap mereka. Ini membawa kepada kebuntuan dan berlaku penangguhan demi penangguhan.

“Kami cuba memperhalusinya (pindaan) tetapi sayang sekali, kerajaan kami kemudiannya jatuh,” kata Sivarasa merujuk kepada langkah yang dimulakan oleh Muhyiddin Yassin yang mengetuai Bersatu keluar daripada kerajaan PH untuk membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Sivarasa digugurkan sebagai calon PKR untuk PRU15 atas sebab kesihatan, kata Pengerusi PH Anwar Ibrahim semalam.

Kegagalan PH untuk memansuhkan Akta Hasutan, apabila ia mempunyai peluang, diselar oleh presiden Majlis Peguam ketika itu, Ragunath Kesavan.

“Malah (bekas) peguam negara (Tommy Thomas) tidak melakukan apa-apa, menteri tidak melakukan apa-apa,” kata Ragunath.

“Akibatnya, kebebasan bersuara dipersoalkan lagi. Sekarang kita membayar harga yang sama, sekali lagi. Walau kerajaan bertukar, isunya tetap sama…kebebasan bersuara.”

PH berjanji dalam manifesto pilihan rayanya untuk memansuhkan Akta Hasutan jika ia dipilih untuk berkuasa.

Sivarasa berkata walaupun PH tidak berjaya memansuhkan undang-undang itu, ia berjaya memperkenalkan beberapa pembaharuan seperti pembentukan akta Anti Berita Palsu 2018 dan komitmen untuk menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

Auku bagaimanapun tidak digantikan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin apabila mengambil alih Putrajaya daripada PH.

Forum malam tadi disertai seorang lagi ahli Parlimen PKR yang digugurkan, Maria Chin Abdullah bersama pengarah kanan kumpulan masyarakat sivil Islam Ikram, Zaid Kamaruddin.

Maria, penyandang ahli Parlimen Petaling Jaya sebaliknya memberitahu forum yang kerajaan persekutuan akan datang perlu menangani isu kemiskinan di negara ini.

Memetik Petaling Jaya (PJ) sebagai kajian kes, bekas pengerusi Bersih itu berkata masih terdapat ratusan ribu keluarga miskin di kawasan itu yang tidak mampu menyara kehidupan harian. 

“Kemiskinan adalah isu utama. Dalam tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih terdapat keluarga yang bergelut menyara kehidupan harian dan kita bukan sahaja bercakap tentang B40 tetapi juga kumpulan M40.

“Ramai yang kehilangan pekerjaan, ramai yang buat kerja sambilan dan ada yang masih menunggu untuk mendapatkan pekerjaan sesuai. Pemulihan perlahan, harga barang naik kerana kita bergantung kepada import.

“Di PJ, lebih 600,000 orang hidup di bawah garis kemiskinan dan ke bawah dan jika PM (Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob) berkata tiada keluarga yang akan tertinggal di bawah Keluarga Malaysia, ini adalah keluarga yang ditinggalkan,” kata aktivis terkemuka yang kini menjadi ahli politik.

Maria digantikan oleh Adun Pahang dua penggal Lee Chean Chung di kerusi PJ.

Alasan PKR untuk menggugurkan Maria kerana kawasan itu memerlukan “orang Cina berpendidikan tinggi” yang juga lebih muda, justeru mempunyai tenaga untuk bergerak dan mengendalikan kumpulan masyarakat sivil.

Ketika PRU14, Maria menang kerusi PJ di bawah tiket PKR dengan 78,984 undi mengalahkan calon BN Chew Hian Tat (21,847) dan Noraini Hussin daripada Gagasan Sejahtera (14,448). – 4 November, 2022.

Iklan
Iklan