Iklan

Tiada gabungan menang kerusi mencukupi untuk bentuk kerajaan, kata tinjauan

Noel Achariam2 years ago4th Nov 2022Berita
Malacca election campaign 20211111 tmihasnoor -03
Tinjauan terbaru Merdeka Center mendapati sukar untuk meramalkan keputusan PRU15 akan datang dengan tiga gabungan besar bertanding di 222 kerusi Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2022.
Iklan

TIADA satu gabungan bakal memenangi kerusi yang mencukupi dalam pilihan raya umum (PRU) untuk membentuk kerajaan persekutuan, kata Merdeka Center hari ini.

Tinjauan terbarunya mendapati sukar untuk meramalkan keputusan PRU akan datang dengan tiga gabungan besar bertanding di 222 kerusi Parlimen.

“Pada pendapat kami, kehadiran tiga gabungan penting dengan asas sokongan yang besar serta ketidakpastian mengenai kemungkinan kadar keluar mengundi menyukarkan untuk menganggarkan keputusan dari segi unjuran bilangan kerusi Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tiga gabungan itu ialah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Merdeka Center berkata dengan tahap sokongan pengundi Melayu yang lebih rendah daripada jangkaan terhadap BN, ada kemungkinan tiada satu pun pakatan akan mencapai undi terbanyak yang cukup besar untuk membentuk kerajaan.

Tinjauan dijalankan pada 19-28 Oktober yang melibatkan 1,209 responden dari Malaysia Barat dan Timur berumur 18 tahun ke atas melalui telefon.

Responden dipilih melalui persampelan berstrata rawak mengikut etnik, jantina, umur dan negeri.

Ia meletakkan margin ralat tinjauan pada 2.82%.

Tinjauan sebaliknya mendapati terdapat kemungkinan yang semakin meningkat bahawa sekurang-kurangnya tiga atau lebih parti atau gabungan diperlukan untuk bekerjasama membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Mengenai previu prestasi negara sejak awal tahun ini, tinjauan berkata, majoriti 72% pengundi berasa negara sedang menuju ke arah yang salah berbanding hanya 20% yang bertegas Malaysia kekal di landasan yang betul.

Kata mereka, ia pandangan yang didorong oleh kebimbangan terhadap keadaan ekonomi, ketidaktentuan politik yang timbul susulan pilihan raya akan datang dan topik lain seperti rasuah dan isu antara kaum.

“Sebanyak 74% pengundi berasa ekonomi adalah masalah terbesar negara pada masa ini.

“Tetapi kebimbangan pengundi sendiri terbahagi kepada inflasi (31%), ketidakstabilan politik (13%), rasuah (12%) dan pertumbuhan ekonomi (12%).”

Mereka berkata kadar puas hati terhadap kerajaan pada masa ini berada pada 31% dengan 60% melaporkan tidak berpuas hati.

Sementara itu, tinjauan pendapat itu berkata perdana menteri sementara (Ismail Sabri Yaakob) mendapat 42%.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu sebagai hari penamaan calon, dan pengundian awal pada 15 November dengan pengundian pada 19 November. – 4 November, 2022.

Iklan
Iklan