Tian Chua sedar keputusannya menyebabkan tindakan daripada PKR
Iklan
BEKAS naib presiden PKR Chua Tian Chang berkata bahawa beliau sedar keputusannya untuk bertanding sebagai calon bebas di Batu akan menyebabkan beliau berdepan tindakan daripada PKR.
“Saya tidak merungut atau merasakan sebarang rungutan mengenainya. Tetapi perkara utama sekarang ialah musim pilihan raya.
“Saya rasa kepentingan parti politik perlu diketepikan. Kita kini kembalikan mandat kepada rakyat, biar rakyat yang membuat pertimbangan,” katanya selepas meletakkan pencalonannya di Sentul hari ini.
Terdahulu di Tambun, Anwar berkata bahawa Tian Chua telah dipecat daripada PKR - sebuah parti yang dia sertai sejak zaman penubuhannya - kerana bertanding sebagai calon bebas di Batu.
P Prabakaran daripada PKR adalah calon pilihan Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi berkenaan.
“Kami memecatnya (Tian Chua) kerana beliau membantah dasar parti, beliau bertanding sebagai calon bebas,” kata Anwar kepada wartawan di Tambun.
Presiden PKR itu berkata pendirian parti adalah jelas iaitu memecat ahli yang membantah keputusan parti.
Tian Chua berkata bahawa beliau tidak pernah mempersoalkan kuasa Anwar dan keputusan bekas presidennya.
“Beliau bertanggungjawab untuk bertindak sebagai ketua parti politik. Saya perlu menerima itu.
“Apabila saya membuat pilihan ini, saya bersedia menerima keputusan itu.
“Saya tidak ada masalah dengan Anwar atau Rafizi Ramli. Mereka melakukan yang terbaik untuk parti. Saya terima itu.”
Katanya, nasib dan masa depan politiknya akan diserahkan kepada rakyat Batu.
“Jika tindakan saya tidak seperti yang mereka kehendaki, maka mereka boleh mengundi dengan sewajarnya.
“Saya tidak mengkhianati parti atau PH. Jangan gunakan kata-kata emosi seperti itu, apabila kamu berkata ‘mengkhianati’, bermaksud kamu mengkhianati prinsip.
“Saya telah berpegang kepada PH selama ini dan saya adalah sebahagian daripada pencetus penciptaan PH.
“Saya masih berpegang kepada prinsip yang dipegang oleh PH. Saya fikir yang penting ialah sama ada orang itu ikhlas, anda perlu menilai mereka dengan tindakan mereka. Ia perlu dilihat oleh rakyat dan diiktiraf oleh rakyat.” – 5 November, 2022.