Hanya satu kerusi lima penjuru di Terengganu

Iklan
EMPAT gabungan politik Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA) bertembung di kesemua lapan kerusi Parlimen Terengganu.
Pertembungan itu turut disertai seorang calon bebas di kerusi Parlimen Dungun, menjadikan persaingan lima penjuru di kawasan Parlimen itu.
Tujuh kerusi yang ditandingi empat penjuru ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Kemaman.
Dua rakan sekolah bersaing iaitu bekas timbalan menteri Ahmad Amzad Hashim dan bekas speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd. Zubir Embong bersaing di kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Amzad calon PN sementara Zubir antara calon veteran mewakili BN.
Zubir bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di kerusi sama tetapi kalah kepada pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
Raja Kamarul yang mempertahankan kerusinya atas tiket PH turut dicabar calon GTA yang bertanding dengan lambang Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda.
Bekas menteri besar Ahmad Said yang selama ini bertanding kerusi negeri, buat pertama kali muncul di kerusi Parlimen dan dicalonkan di Kemaman. Beliau mencabar penyandang dari PAS Che Alias Hamid.
Mereka disertai Hasuni Sudin (PH-PKR) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang).
Sementara itu, tumpuan nasional tentunya di Kuala Nerus apabila BN meletakkan penyandang Mohd Khairuddin Aman Razali yang keluar dari PAS awal tahun ini.
PAS menurunkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak yang juga Adun Bukit Tunggal.
Mereka disaingi calon PH Suhaimi Hashim manakala GTA meletakkan Azaha Wahid.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang untuk penggal keempat, biarpun sebelum ini disebut-sebut tidak akan bertanding kerana masalah kesihatan.
Beliau dicabar calon BN, Jasmira Othman, Zarawi Sulong (GTA) dan calon PH, Azhar Abdul Shukur.
Penyandang Hulu Terengganu Rosol Wahid mempertahankan kerusinya dan dicabar Rozi Mamat (BN), Alias Ismail (PH) dan Mohd Khadri Abdullah (GTA).
Pada PRU14, PAS menang enam kerusi kecuali Hulu Terengganu dan Besut. – 5 November, 2022.