Penganalisis ramal Prabakaran menang di Batu
Iklan
WALAU berdepan sembilan pencabar, undi berpecah dan persaingan dari bekas sekutu, itu tidak menjadi halangan bagi P Prabakaran mengekalkan kerusi Parlimen Batu yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, kata penganalisis politik.
Mereka juga berkata peluang Prabakaran, 29, menang untuk penggal kedua tinggi berdasarkan prestasinya di kawasan Batu sejak 2018.
Penganalisis politik juga tidak fikir bekas ahli Parlimen Batu Tian Chua yang bertanding atas tiket Bebas akan berjaya merampas semula kerusi itu, terutamanya apabila beliau tidak mempunyai jentera. Mereka selain itu berkata kebanyakan calon di Batu akan kalah dan hilang wang pertaruhan masing-masing.
Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar memberitahu The Malaysian Insight, tiada peluang untuk calon lain, khususnya yang bertanding atas tiket Bebas menang di situ.
“Mereka tiada jentera untuk mendekati pengundi sepanjang tempoh berkempen.
“Prabakaran masih jadi pilihan untuk menang kerusi itu, tetapi Tian Chua mungkin akan meraih undi simpati,” katanya.
Menurut Tunku Mohar, meski Tian Chua pernah menyandang kerusi Parlimen Batu selama dua penggal beliau tiada jentera yang kuat, dan ini akan menghalang peluangnya untuk merampas semula kerusi tersebut.
Kawasan Parlimen menjadi medan pertempuran terhangat pada PRU15 apabila 10 calon menawarkan diri bertanding, dengan empat bertanding atas tiket Bebas, termasuk Tian Chua.
Bekas naib presiden PKR itu hilang kelayakan bertanding pada PRU14 selepas didapati bersalah menghina kehormatan seorang anggota polis dan didenda RM2,000.
Prabakaran menang kerusi Parlimen Batu sebagai calon Bebas pada PRU14 dengan sokongan Tian Chua dan PKR, sebelum menyertai parti itu.
Prabakaran bertanding mempertahankan kerusinya atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 kali ini, dan berhadapan A Kohilan Pillay daripada Barisan Nasional (BN), Azhar Yahya yang mewakili Perikatan Nasional (PN), dan Wan Azliana Wan Adnan yang mewakili Pejuang.
Calon lain termasuklah Naganathan Pillai yang mewakili Warisan dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah, yang merupakan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Selain Tian Chua, turut menawarkan diri sebagai calon Bebas adalah peguam Siti Kassim, pempengaruh Nur Fathiah Syazwan Shaharudin, atau lebih dikenali sebagai Cleopatra, dan Too Cheng Huat.
Mengulas lanjut mengenai calon Bebas, Tunku Mohar berkata mustahil bagi mereka untuk menang malah akan hilang wang deposit masing-masing.
“Begitu juga calon Pejuang, PRM dan Warisan, bakal hilang wang deposit mereka.
“Pertarungan sebenar adalah antara BN dan PKR, tetapi dengan mengandaikan sentimen anti-BN yang melekat di kawasan bandar dan separa bandar Kuala Lumpur, boleh dikatakan peluang Kohilan untuk menang adalah tipis.
Tian Chua ‘perosak’
Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata 10 calon yang bertanding di Parlimen Batu tidak memberi banyak beza kerana pertarungan sebenar di situ adalah antara PH dan BN.
“Kebanyakan calon mungkin akan hilang wang deposit. Kerana pada dasarnya ini pertandingan antara PH dan BN, dan Tian Chua jadi perosak.
“Pengundi di kawasan seperti Batu lebih pentingkan pihak mana yang harus jadi kerajaan, jadi mereka akan cenderung memilih parti berbanding calon yang bertanding,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Oh percaya Prabakaran mempunyai peluang lebih cerah untuk menang kerana bertanding atas tiket PH.
Dan walaupun Tian Chua berdepan dipecat daripada PKR kerana bertanding sebagai calon Bebas, Oh berkata bekas ahli Parlimen Batu itu tetap akan memperoleh sedikit undi.
“Tewas tetapi tidaklah sampai hilang deposit,” katanya.
Pandangan serupa turut dikongsikan Profesor Pengajian Asia University Tasmania James Chin.
“Peluang Prabakaran untuk menang cerah walaupun undi berpecah, manakala sokongan kepada Tian Chua mungkin tidak sekuat dulu.
“Semua calon Bebas akan tewas. Mungkin Siti dan Kohilan sahaja yang akan dapat semula wang deposit,” kata Chin.