Iklan

Rafizi gesa Muhyiddin nyatakan pendirian berhubung skandal LCS

Alfian Z.M. Tahir2 years ago7th Nov 2022Berita
Iklan

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan integriti Perikatan Nasional (PN) selepas pengerusinya Muhyiddin Yassin malam tadi mendakwa gabungan itu mempunyai rekod prestasi lebih baik berbanding Pakatan Harapan (PH) dari segi etika.

Rafizi mengingatkan Muhyiddin walaupun mendabik dada PN mempunyai rekod prestasi bersih, partinya Bersatu masih belum menjawab beberapa skandal membabitkan menterinya terutama dalam isu Littoral Combat Ship (LCS).

“Pemimpin PN dikaitkan dengan skandal jutaan ringgit. Sehingga hari ini Muhyiddin Yassin dan PN masih belum menafikan penglibatan menteri mereka dalam skandal itu.”

“Ia melibatkan Latiff Ahmad, bekas menteri Bersatu yang namanya disebut dalam laporan audit forensik mengenai kelewatan projek LCS.”

“Alizes Marine Ltd, sebuah syarikat palsu yang disebut dalam laporan itu didakwa menipu lebih RM200 juta dalam projek tentera laut dan syarikat itu dikaitkan dengan Latiff.”

“Bersatu masih belum menangani isu ini atau membuat sebarang kenyataan dalam menafikan skandal itu. Latiff sebaliknya masih belum menyaman saya kerana mendedahkan namanya. Apa yang beliau lakukan ialah membuat laporan polis,” kata Rafizi.

Projek LCS menjadi tumpuan susulan penemuan salah urus oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Penyiasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan.

Tiada sebuah kapal pun yang dihantar kepada tentera laut Malaysia.

Bercakap lanjut, Rafizi berkata beliau akan mendedahkan satu lagi skandal yang melibatkan bekas timbalan menteri Bersatu tidak lama lagi.

Rafizi berkata skandal kali ini yang melibatkan Kementerian Pertahanan dikaitkan dengan bekas timbalan menteri pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz.

“Ikhmal dikaitkan dengan perolehan meriam Self Propelled Howitzer atau SPH.”

“Sehingga hari ini, Muhyiddin dan komponen parti PN masih belum berjaya menangkis bukti.”

“Atas sebab itu, Muhyiddin dan PN adalah kumpulan terakhir yang boleh mendabik dada kononnya mereka bersih. Sedangkan kami dalam PKR sudah mengambil langkah berani mengisytiharkan harta kami, tiada seorang pun daripada Bersatu berani mengisytiharkannya,” kata Rafizi.

Malam tadi, semasa program manifesto PN, Muhyiddin mengkritik PH dan Barisan Nasional dengan berkata penanda aras yang ditetapkan oleh PN dalam soal integriti lebih tinggi daripada pesaingnya.

“Inilah sebabnya mereka yang menghadapi pertuduhan rasuah bertanding dalam pilihan raya umum,” katanya.

Beliau tidak menamakan individu tersebut tetapi dipercayai merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Lim Guan Eng daripada DAP.

“Tetapi itu adalah masalah mereka, bukan kita,” katanya sambil berseloroh.

Muhyiddin berkata pengundi akan dapat membezakan dan menilai parti mana lebih komited untuk memastikan negara bebas rasuah.

Walaupun beliau menuduh PH mempunyai standard lebih rendah daripada PN, Muhyiddin berkata beliau akan meneruskan rancangan antirasuah kebangsaan, inisiatif lima tahun yang diperkenalkan kerajaan PH pada 2019.

“Kami juga akan menubuhkan mahkamah antirasuah dan meminda undang-undang berhubung pembiayaan politik untuk membendung ancaman itu,” tambahnya. – 7 November, 2022.

Iklan
Iklan