Iklan

Lawan Azmin di Gombak bukan bersifat peribadi, kata Amirudin

Noel Achariam2 years ago11th Nov 2022Berita
Gombak nomination center november 05, 2022 tmi afif 08
Parlimen Gombak menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Amirudin Shari (PH), Azmin Ali (PN), Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Pejuang), Zulkifli Ahmad (bebas) dan Megat Zulkarnain Omardin (BN). – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2022.
Iklan

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari tidak ada niat untuk menjadikan pertembungannya dengan Mohamed Azmin Ali di kerusi Parlimen Gombak sebagai satu perlawanan bersifat peribadi.

Naib presiden PKR itu berkata perlawanan merebut kerusi itu sama seperti perlawanan antara calon lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Bezanya hanya kami (saya dan Azmin) secara peribadinya, kami rapat, tetapi ada juga yang lain dalam pertandingan ini.

“Ini bukan perlawanan peribadi (antara kami). Saya tidak mahu menjadikan perlawanan ini menjadi isu peribadi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, Gombak menjadi tumpuan kerana ia membabitkan Azmin (ahli Majlis Tertinggi Bersatu) melawan Amirudin – satu perlawanan antara seorang bekas menteri besar dan menteri besar sekarang, ia pertembungan antara mentor dan protégé.

Amirudin berkata mereka berdua bukan isu dalam PRU kali ini tetapi ia sebenarnya tentang hala tuju negara dan pendirian serta prinsip dibawa Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Masa beliau (Azmin) menteri besar, saya sokong dan berkempen untuknya.

“Tetapi, kemudian beliau keluar (Langkah Sheraton), jadi saya tidak ada pilihan lain kecuali lawan (bertanding di Gombak) kerana ia tentang prinsip dan dasar.”

Kerusi Gombak menyaksikan pertandingan lima penjuru pada PRU15 iaitu Azmin sebagai penyandang daripada PN bakal melawan empat calon lain.

Jika menang, ini adalah penggal keempat Azmin di Gombak.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pertembungannya dengan Azmin Ali di Parlimen Gombak tidak bersifat peribadi dan ia sama saja seperti perlawanan antara calon lain pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2022.

Selain Amirudin (PH), Azmin akan berdepan dengan Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Pejuang), Zulkifli Ahmad (bebas) dan Megat Zulkarnain Omardin (BN).

Pada PRU14, Azmin memperoleh 75,113 undi dan bertanding atas tiket PKR menentang Abdul Rahim Kamarudin (BN) dan Khairil Nizam (PAS).

Pada Mac 2020, Azmin mengetuai 10 ahli Parlimen daripada PKR keluar parti dan menyertai Bersatu, hingga menyebabkan keruntuhan kerajaan PH.

Amirudin berkata antara isu yang akan dibawa pada PRU ini ialah berkenaan tanah, kebajikan rakyat, pendidikan dan isu ekonomi wanita.

Semalam, beliau melancarkan manifesto untuk Gombak dan berjanji untuk menyalurkan semua elaunnya sebagai wakil rakyat kepada kawasan itu.

Katanya, elaun itu akan disalurkan kepada Dana Komuniti Gombak jika beliau dipilih sebagai ahli Parlimen Gombak.

Beliau berkata dana itu akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam untuk manfaat pengundi di Gombak.

“Dana Komuniti Gombak adalah inisiatif di mana saya akan menyumbangkan gaji saya sebagai ahli Parlimen. Saya juga akan mempelawa sektor awam dan swasta untuk memberi sumbangan dalam dana itu,” katanya.

Katanya, kempennya berjalan lancar dan berharap dapat melawat ke lebih banyak kawasan sebelum hari mengundi 19 November.

“Kempen kami di media sosial juga aktif. Tetapi kami masih perlu menjalankan kempen secara fizikal yang diperlukan dalam masyarakat di sini.

“Kami menggunakan media sosial untuk menarik beliau menyertai program kami. Ia bukan mudah.

“Kami perlu menembusi segmen ini untuk meyakinkan golongan muda dan generasi tua supaya mengundi PH.” – 11 November, 2022.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan