Ketua Pemuda PAS Sik mohon maaf 'isu neraka'
Iklan
KETUA Pemuda PAS Sik Shahiful Nasir memohon maaf kerana mendakwa mereka yang mengundi Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) minggu depan akan “berakhir ke neraka”.
Permohonan maafnya dibuat selepas beliau menerima kritikan teruk di media sosial susulan videonya tular di Facebook.
“Mengenai isu syurga dan neraka, ia tidak bergantung kepada sama ada seseorang itu mengundi BN atau PH. Apa yang saya maksudkan, secara umumnya, ia adalah mengenai melakukan kebaikan atau keburukan.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua atas kesilapan yang saya lakukan dalam ucapan saya.
“Saya minta orang ramai berhenti berkongsi dan menyebarkan video itu bagi memastikan keharmonian dan supaya pilihan raya umum bebas daripada masalah atau isu yang melampau dan melampaui batas,” kata Shahiful.
Dalam video yang dimuat naik semalam, Shahiful menggesa pengundi supaya mengundi Perikatan Nasional dan bukannya PH atau BN.
Ini bukan kali pertama seorang pemimpin PAS mendakwa pengundi mungkin berakhir di neraka jika mereka tidak mengundi untuk PAS.
Presidennya, Abdul Hadi Awang pada 1981 pernah mendakwa orang Islam yang menyokong Umno dianggap murtad.
Ucapan yang digelar sebagai Amanat Haji Hadi itu dibuat sebelum peristiwa Memali pada 1985 yang mana 14 penyokong PAS terbunuh dalam rusuhan yang menyaksikan empat anggota polis terkorban. – 11 November, 2022.