Anggota tentera mula undi pos pada 7 Nov, kata Affendi Buang
Iklan
ANGGOTA tentera yang didaftarkan sebagai pengundi pos mula mengundi pada 7 November manakala pengundi awal membabitkan 146,737 anggota tentera termasuk pasangan mereka akan mengundi pada Selasa 15 November ini, kata Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang.
Dalam satu kenyataan Affendi menambah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan 153 pusat pengundian awal di seluruh negara untuk kakitangannya yang terlibat dalam pengundian pada Selasa ini.
“Anggota tentera yang berdaftar sebagai pengundi pos mengundi mulai 7 November dan proses itu akan diteruskan sehingga 19 November sebelum 5 petang.
“Bagi pengundi awal 153 pusat mengundi diwartakan dan 146,737 anggota tentera termasuk pasangan masing-masing dijangka membuang undi,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa anggota tentera, khususnya di Bera, telah membuang undi pada Khamis lalu dan dibayar RM300 setiap seorang untuk berbuat demikian.
Pada sidang media di Kuching, Sabtu Anwar berkata beliau boleh membuktikan dakwaannya dan menggesa siasatan dijalankan.
“Saya telah membuat kenyataan terbuka dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah meminta saya memberikan bukti. Oleh itu saya akan berikan kepada mereka,” katanya.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan penyandang Bera membidas dakwaan Anwar dan mendakwa ia sebagai “berniat jahat” dan “memfitnah”.
Ismail memberitahu Anwar untuk menarik balik kenyataannya, mengatakan presiden PKR itu menghina angkatan tentera.
Malaysia akan keluar mengundi pada 19 November.
Dalam kenyataannya Affendi tidak menyentuh dakwaan Anwar.
Beliau berkata tentera akan bersiap sedia untuk membantu SPR pada PRU15 memandangkan negara dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir.
“Tentera sedia membantu SPR, pihak berkuasa tempatan dan orang ramai dalam memastikan proses pengundian berjalan lancar dan pada masa sama ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terjamin,” katanya.
Tegasnya ATM akan terus menumpukan keutamaan dalam memperkukuh pasukannya demi menjaga kepentingan negara dan kedaulatan negara. – 13 November, 2022.